Kerajaan tekad perkasa sektor awam - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tekad perkasa sektor awam - PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 April - Pemerkasaan sektor awam merupakan antara agenda penting yang sering ditekankan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Beliau berkata demikian ketika majlis perjumpaan khas bersama penjawat awam di Sarawak, hari ini.

 

Jelasnya, penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan mesra rakyat menjadi fokus utama kerajaan bagi mengurangkan kekangan birokrasi khususnya di kawasan luar bandar.

 

Langkah ini penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar yang terkesan.

 

"Sebagai contoh, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mana-mana peraturan yang didapati tidak lagi berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik.

 

"Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur," katanya. 

 

Menyedari kepentingan sektor perkhidmatan awam sebagai pemangkin dalam menggerakkan pembaharuan khususnya  pendigitalan, kerajaan komited memacu transformasi digital ke arah Revolusi Industri 4.0 (4IR). 

 

Sehubungan itu, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara telah ditubuhkan yang bertujuan untuk menetapkan dasar,
pelaksanaan dan pemantauan strategi serta inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

 

Pada Februari lalu, kerajaan juga telah memperkenalkan pelan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bagi memacu transformasi digital sektor awam. 

 

Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100% penjawat awam yang celik digital dan 80% perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang 2025.

 

Perdana Menteri menyeru kepada semua penjawat awam supaya dapat memainkan peranan sebagai pemudahcara untuk memudahkan urusan masyarakat setempat di dalam komuniti masing-masing selaras dengan agenda pemerkasaan sektor awam.

 

Katanya, penggunaan teknologi secara meluas pasca COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

 

"Pandemik COVID-19 telah memberi kesan langsung bukan sahaja terhadap sektor ekonomi tetapi juga sektor-sektor lain termasuklah sektor awam.

 

"Aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi satu cabaran besar, bagaimana kita hendak menyampaikan
perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan terutama kepada mereka di kawasan pedalaman yang masih agak terbatas dari segi infrastruktur asas dan capaian internet," katanya. - DagangNews.com