Kerajaan teliti kesan penarikan firma Jepun daripada projek HSR - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan teliti kesan penarikan firma Jepun daripada projek HSR - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dan bermesra bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hijrah Persiaran Desa Pinggiran Putra, hari ini - Facebook/Anwar Ibrahim

SEPANG 12 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjaaan akan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek berkenaan.

 

"Kita akan lihat...Saya baru terima laporan sebentar tadi," katanya yang juga Menteri Kewangan kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid AlHijrah, Desa Pinggiran Putra, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu memutuskan untuk menarik diri kerana berpendapat ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

 

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara
rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Firma Jepun tarik diri daripada projek HSR Malaysia-Singapura menjelang tarikh akhir RFI – laporan

 

Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

 

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura telah dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya yang ditetapkan pada 15 November 2023.

 

Pada 27 Julai 2023, MyHSR Corp telah mengadakan taklimat RFI untuk projek HSR, yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.

 

Mengulas permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  supaya tindakan diambil untuk menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk ‘Man On The Run’ dalam platform penstriman Netflix, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan perkara itu.

 

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menghantar surat kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzi; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia MCMC Datuk Zulkairnain Mohd Yasin memohon supaya mengambil tindakan dengan menurunkan serta melarang tayangan dokumentari itu di Netflix.

 

Laporan media menyebut Muhammad Shafee mahu kerajaan menarik penyiaran dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu di Malaysia kerana berpendapat ia bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

 

"Yang itu mereka (kerajaan) akan pertimbangkan," kata Anwar.

 

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Hijrah, dan sebelum itu makan tengah hari di Restoran Arham, berhampiran dan disaji dengan menu asam pedas. - DagangNews.com