Kerajaan utamakan pada tambah baik isu tadbir urus, percukaian isu kedua - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan utamakan pada tambah baik isu tadbir urus, percukaian isu kedua - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 18 Oktober 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 18 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa keutamaan pertama kerajaan mestilah kepada menambah baik isu tadbir urus manakala percukaian adalah isu kedua dalam mana-mana inisiatif dasar awam dan ekonomi yang munasabah.

 

Beliau berkata, isu tadbir urus adalah penting untuk memastikan tiada ketirisan yang tidak perlu, mengambil kekayaan awam dan rasuah.

 

"Kita kemudiannya boleh menilai keperluan cukai, kerana ia adalah sesuatu yang penting hanya jika ia dianggap kritikal," katanya ketika berucap di Simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

 

Beliau berkata, perbincangan mengenai Cukai Nilai Tambah (VAT) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah relevan tetapi jangan sesekali lupa bahawa negara ini telah mewarisi masalah besar tadbir urus, rasuah endemik dan angka defisit yang perlu negara hadapi.

 

Ia bukan kerana ekonomi telah kehilangan kapasitinya untuk berkembang atau asasnya lemah, tetapi cara kita mentadbir dan bertolak ansur dalam perkara ini.

 

"Apabila saya katakan kita, (ia) tidak terbatas kepada ahli politik tetapi ahli akademik, sarjana dan pemimpin korporat, yang dalam banyak cara bersubahat kepada keterlaluan jenayah itu," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

 

Beliau berkata dasar yang dilaksanakan pada asasnya adalah untuk memastikan tadbir urus yang baik dan juga kestabilan politik sebelum mempertimbangkan berapa banyak cukai yang diperlukan untuk memacu dan mengekalkan ekonomi.

 

 

anwar

 

 

Anwar berkata, isu tadbir urus mesti diberi keutamaan sebelum memperkatakan sama ada kerajaan menunjukkan kebimbangan dan keprihatinan yang mencukupi, lapor Bernama.

 

"Saya tidak akan menafikan hakikat bahawa Malaysia mempunyai perniagaan yang luar biasa. Semua kerajaan dahulu sememangnya memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya. - DagangNews.com