Kerja pemulihan Air Selangor capai tahap 72% | DagangNews Skip to main content

Kerja pemulihan Air Selangor capai tahap 72%

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) mencapai status kemajuan kerja pada tahap 72% berbanding 53% sasaran awalnya.

Pengarah dan Ketua Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, kesemua kerja-kerja itu berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan pihaknya.

"Kerja telah bermula pada pukul 9.00 pagi tadi dan sedang lancar mengikut jadual.

"Status kemajuan kerja kini berada pada tahap 72% berbanding 53% sasaran awal. Kemajuan tersebut bermakna 19% lebih awal berbanding masa yang dirancang sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung secara dalam talian di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, sebanyak 93 lori tangki telah digerakkan ke 82 premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis di sekitar wilayah-wilayah terjejas.

"Kami juga telah menempatkan sebanyak 82 tangki statik di sekolah-sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan pada 15 Julai 2020 (esok), klinik kesihatan dan pusat dialisis. Ini adalah untuk memastikan aktiviti harian di sekolah dapat diteruskan seperti biasa.

Air1

Dalam makluman terdahulu, Air Selangor memberitahu, sebanyak 290 kawasan terjejas dan mengalami masalah gangguan bekalan air berjadual bermula 14 Julai dan akan pulih secara berperingkat bermula 15 hingga 17 Julai 2020.

Gangguan bekalan air tersebut melibatkan wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat.

Henti tugas LRA SSP3 itu juga memberi kesan kepada pengurangan jumlah pengeluaran air bersih sebanyak 472 juta liter berbanding kapasiti normal sebanyak 800 juta sehari. 

Ditanya mengenai aspek keselamatan yang perlu dipatuhi masyarakat, beliau memberitahu, orang ramai perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak kerajaan seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka ketika keluar mengambil air di lori tangki.

"Orang ramai yang ingin ambil air wajib patuhi SOP dan setiap lori tangki kami juga telah sediakan poster SOP sebagai peringatan kepada pengguna," jelasnya lagi. - DagangNews.com

Air2