Kerjasama Allianz Life dengan RHB Trustees untuk perancangan warisan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Allianz Life dengan RHB Trustees untuk perancangan warisan

Ketua Pegawai Eksekutif RHB Trustees, Tony Chieng (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) berkerjasama dengan RHB Trustees Berhad untuk memberikan pelanggannya perkhidmatan pemegang amanah dalam membantu menguruskan serta melindungi warisan keluarga mereka.

Mulai 13 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2021, Allianz Life akan merujuk pelanggannya yang mempunyai jumlah keseluruhan polisi insurans dengan Jumlah Yang Diinsuranskan minimum RM500,000 kepada RHB Trustees. 

Rujukan ini membolehkan pelanggan-pelanggan untuk merangka amanah insurans untuk diwarisi ahli keluarga mereka dengan kadar tetap istimewa pada RM500 untuk setiap amanah insurans. 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross berkata, sebagai penanggung insurans, pihaknya menekankan kepentingan perancangan warisan dan perlindungan pendapatan keluarga. 

“Kita meluangkan seumur hidup untuk mengumpul kekayaan tetapi tidak mementingkan proses pentadbiran harta pusaka. Oleh sebab itu, waris mungkin tidak boleh mewarisi hak mereka,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tanpa mengira jenis aset kekayaan, sama ada hartanah, akaun deposit tetap atau mungkin hanya barang kemas, setiap individu harus meneliti cara untuk mewariskan harta dan aset mereka kepada keluarga. 

“Perancangan warisan sering dikaitkan dengan memiliki wasiat dan bukti terakhir, tetapi ramai individu lebih cenderung menubuhkan sebuah amanah. 

"Salah satu tarikan untuk amanah ialah mengelak probet mahkamah yang lama dan kos tidak perlu yang datang bersamanya. Dengan Amanah Insurans, kami boleh memastikan ahli keluarga dijaga dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata, strategi pemindahan harta diperlukan dalam perancangan kewangan komprehensif. 

Ini kerana menurunya, laporan statistik baru-baru ini menunjukkan 70% rakyat Malaysia masih tidak mempunyai perancangan harta atau warisan yang betul. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Trustees, Tony Chieng berkata, kerjasama bersama Allianz ialah langkah strategik utama untuk RHB Trustees bagi membantu masyarakat merancang secara profesional Perancangan Warisan bagi melindungi orang yang mereka sayang. - DagangNews.com