NOR AZAN FIITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Nov - Malaysia menggesa ASEAN dan China untuk meningkatkan kerjasama dalam keupayaaan kesihatan awam serta farmaseutikal melalui perkongsian teknologi, pengetahuan dan harta intelek.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama dalam bidang itu akan membantu menaik taraf sistem kesihatan awam ASEAN dan memastikan negara-negara anggota bersedia untuk menghadapi kecemasa kesihatan secara lebih berkesan pada masa akan datang.
Beliau berkata, keselamatan kesihatan global baharu yang disokong komitmen bersama, tanggungjawab kolektif, ketelusan dan akauntabiliti perlu dibangunkan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi sidang video di sini, Isnin.
Sidang Kemuncak Khas itu dipengerusikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah selaku pengerusi ASEAN tahun ini dan turut disertai Presiden China Xi Jinping.
Perdana Menteri turut menekankan, pemulihan sosioekonomi daripada pandemik COVID-19 adalah keutamaan apabila negara menuju ke peringkat pasca pandemik.
Beliau berkata, ASEAN dan China harus mengukuhkan kerjasama ekonomi digital, transformasi dan infrastruktur serta kesalinghubungan untuk memastikan rantaian bekalan terus berkembang dan tanpa halangan.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada ASEAN dan China atas pelbagai aktiviti yang dilaksana tahun ini untuk meraikan 30 tahun hubungan dialog.
“Saya yakin hubungan dialog ASEAN-China akan terus berkembang dan semakin kukuh.
"Malaysia berpandangan bahawa dengan rangkaian yang kukuh melalui platform bersama ASEAN-China, kumpulan pemikir kami boleh memainkan peranan sangat penting untuk menyumbang ke arah perkongsian ASEAN-China yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.-Dagangnews.com