Kerjasama bangunkan teknologi nano untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Kerjasama bangunkan teknologi nano untuk PKS

 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - NanoMalaysia Berhad hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan salah sebuah inkubator teknologi terkemuka India, 10000StartupsIndia dan syarikat permulaan di Malaysia, Foodie Box Group. 

 

Perjanjian ini melibatkan inisiatif aktiviti pemindahan teknologi oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) melalui 10000StartupsIndia untuk mengupayakan syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro di India.

 

Ia membabitkan sektor seperti tenaga bersih, tekstil, pertanian bandar, penjagaan kesihatan dan enterpris sosial untuk menerima dan menggunakan nanoteknologi dalam penawaran produk mereka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, Langkah ini sudah tentu memberi ruang untuk menghidupkan perusahaan bersaiz kecil dan sederhana dengan memperkasakan mereka dengan kemahiran teknologi baharu, baik secara serantau dan global.

 

"Ini juga secara langsung menyokong sasaran utama Negara Teknologi Tinggi Malaysia dan merupakan cara terpantas bagi syarikat di negara untuk memiliki ekuiti dalam syarikat dan aktiviti perniagaan di luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau memberitahu inisiatif ini ialah titik permulaan bagi syarikat dan pihaknya akan meneroka pasaran lain seperti Bangladesh dan rantau Timur Tengah untuk kerjasama yang serupa.  

 

10000StartupsIndia merupakan platform komuniti terbesar di India yang dibiayai oleh para pelabur Silicon Valley manakala Foodie Box Group pula ialah syarikat permulaan teknologi yang memberi tumpuan kepada makanan, teknologi dan enterpris sosial. 

 

Pada tahun lalu, India menyaksikan pertumbuhan jumlah pusat permulaan yang mendadak berbanding 2015. Dalam masa 5 tahun, jumlah syarikat permulaan di setiap sektor telah meningkat 40 hingga 45%. 

 

Malaysia turut menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan dalam PKS dan syarikat permulaan dalam bidang nanoteknologi pada 2016 hingga 2020 dengan hampir 100 syarikat peringkat awal dan pertumbuhan yang menyertai program pengkomersialan dan pensijilan NanoMalaysia. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 10000StartupsIndia, Leenesh Singh berkata, penggunaan nanoteknologi dan potensinya dalam meningkatkan pelbagai sektor di India masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. 

 

"Terdapat permintaan besar untuk teknologi baru bagi mengganggu perniagaan yang lebih tradisional seperti industri tekstil yang mana aplikasi nanoteknologi dapat digunakan untuk membangunkan bahan baru atau memperbaharui kaedah pengeluaran," katanya. - DagangNews.com