Kerjasama HDC, Huawei Malaysia, Duriemas buka peluang industri halal berkembang di China  | DagangNews Skip to main content

Kerjasama HDC, Huawei Malaysia, Duriemas buka peluang industri halal berkembang di China 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) bersama Halal Development Corporation Bhd. (HDC) dan Duriemas Sdn. Bhd. akan menggunakan penyelesaian digital berasaskan awan, dibangunkan menggunakan teknologi Huawei Cloud, untuk mempromosikan dan mengukuhkan ekosistem industri Halal melalui Platform Bersepadu Halal (HIP) HDC. 

 

Ini menyaksikan ketiga-tiga memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini yang memberi peluang baharu untuk memanfaatkan potensi kepakaran masing-masing, terutama dari segi bantuan teknikal, mengukuhkan jejak makanan dan penyelesaian jejak serta sistem jaminan makanan dan kualiti melalui pelaksanaan teknologi awan terkini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif HDC untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti industri halal menggunakan penyelesaian berasaskan Cloud Huawei dan Duriemas.

 

Katanya, China sentiasa menjadi pasaran sasaran untuk HDC dan percaya ia adalah pasaran yang 'tepat' untuk industri halal, di mana pada masa ini, 60% daripada eksport halal adalah ke China.

 

"Inisiatif ini akan merintis 'sistem jejak dan kesan' menggunakan blockchain bagi produk halal Malaysia dan membuka lebih banyak peluang kepada ahli HIP untuk memperluaskan pasaran ke China," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mou
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari (dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Duriemas Sdn. Bhd., Winston Chia dan Naib Presiden Perniagaan AI dan Awan Huawei Malaysia, Lim Chee Sion dalam majlis memeterai memorandum persefahaman antara ketiga-tiga pihak baru-baru ini.

 

 

HIP akan menjadi platform sehenti dalam talian untuk menghubungkan pemain industri ke pasaran halal global dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak transaksi perniagaan dalam ekosistem halal, sama ada secara dalam talian atau di luar talian. 

 

Ia juga termasuk perkhidmatan lain yang disediakan oleh HDC seperti Taman Halal, Institut Latihan Halal, Perundingan dan Penasihat Halal dan Pusat Pengetahuan Halal.

 

Melalui kerjasama itu, HDC, Duriemas dan Huawei Malaysia juga akan menubuhkan dua Pusat Promosi Halal di bandar Qingdao dan Urumqi di China, yang akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi pasaran perdagangan halal di China dan antarabangsa.

 

Di bawah MoU itu, HDC sebagai pentadbir HIP, antara lain, akan mentadbir, memasarkan dan berhubung dengan badan kerajaan di Pangkalan Data Industri Halal.

 

Duriemas, sebuah syarikat perunding teknologi dan pembangunan pasaran pula akan mempermudahkan dan menyelaraskan penubuhan dan operasi Laluan Perdagangan Halal di Pelabuhan Klang, bersama pusat di Qingdao dan Urumqi.

 

Sementara itu, Huawei Malaysia akan membantu dalam menyediakan infrastruktur teknikal untuk kerjasama berkenaan memandangkan MoU itu membolehkan Huawei memanfaatkan penyelesaian awan dan menyepadukannya dengan HIP. - DagangNews.com