Kerjasama Revenue Monster, ShopeePay mudahkan pelanggan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Revenue Monster, ShopeePay mudahkan pelanggan

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Syarikat teknologi kewangan tempatan, Revenue Monster menjalin usaha sama dengan ShopeePay Malaysia Sdn. Bhd., perkhidmatan e-dompet mudah alih bagi penyedia e-dagang nombor satu di Malaysia. 

 

Kerjasama ini mengintegrasikan Revenue Monster dan ShopeePay sebagai cara pembayaran yang memberikan penyelesaian pembayaran alternatif tanpa tunai kepada rakan niaga dan pelanggan di hampir 13,000 terminal perniagaan.

 

Solusi pembayaran bersatu Revenue monster menampilkan penerimaan pembayaran bagi 14 e-dompet, Mastercard dan Visa serta FPX untuk pembayaran atas talian. 

 

 

Revenue Monster bekerjasama dengan ShopeePay

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda China berkata, dengan ShopeePay tersedia melalui Revenue Monster, ia dapat menawarkan lebih banyak pilihan pembayaran tanpa tunai kepada perniagaan di seluruh negara melalui penyatuan penyelesaian pembayaran. 

 

Katanya, ShopeePay kini boleh diterima sebagai salah satu pilihan pembayaran setelah peniaga mendapatkan perkhidmatan penyelesaian kedai atas talian à la carte dari Revenue Monster, satu platform yang dapat membantu perniagaan untuk memiliki kedai dalam talian dengan pantas, seterusnya mendapatkan lebih banyak pelanggan.

 

"Dengan penambahan cara pembayaran baharu ini, rakan niaga di dalam jaringan Revenue Monster akan dapat memanfaatkan kempen rebat tunai ShopeePay yang mana pelanggan akan menerima pulangan RM3 setiap hari dengan pembelian minimum RM15, yang seterusnya akan membawa lebih nilai kepada pelanggan mereka," katanya. 

 

Ekosistem Revenue Monster membolehkan rakan niaga mempercepatkan pendigitalan secara lebih lancar melalui peralatan digital seperti penyatuan penyelesaian pembayaran, pautan pembayaran satu klik melalui e-Invoice dan LivePay, serta à la carte, penyelesaian kedai super dalam talian.

 

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, usaha sama dengan Revenue Monster meningkatkan capaian dan penggunaan ShopeePay, dengan menyediakan cara pembayaran yang lebih pantas, senang dan selamat apabila mereka berbelanja atas talian mahupun di kedai fizikal. - DagangNews.com