Kerjasama TM ONE-Sunline ke arah transformasi bank  | DagangNews Skip to main content

Kerjasama TM ONE-Sunline ke arah transformasi bank 

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Sunline Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi membolehkan transformasi bank dan institusi kewangan dengan rumusan berasaskan awan termaju. 

 

Sunline merupakan syarikat peneraju perkhidmatan perisian dan teknologi perbankan dan telah bertapak di pasaran Asia Tenggara dengan pengalaman hampir dua dekad dalam evolusi Teknologi Kewangan (FinTech) di China.

 

Dengan kerjasama ini, TM ONE dan Sunline akan memanfaatkan kelebihan dan kepakaran masing-masing dalam teknologi kewangan, keupayaan dan sumber-sumber teknikal untuk memperkaya perkhidmatan kewangan digital dan mendorong pengamalan perbankan digital di negara ini.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, kunci kepada transformasi digital untuk bank dan institusi kewangan terletak pada perkhidmatan digital merangkumi perkhidmatan awan, sambungan, keselamatan siber dan perkhidmatan pintar. 

 

Katanya, dengan memahami permintaan dan keperluan pasaran Perbankan, Perkhidmatan Kewangan dan Insuran (BFSI), ia dapat mempermudahkan kecekapan perkhidmatan dan memacu transformasi perniagaan dengan pelbagai potensi tanpa batasan.

 

"Kerjasama dengan Sunline ini adalah bukti dedikasi kami ke arah membantu industri BFSI untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang selamat dan lancar," katanya dalam kenyataan. 

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan secara maya semalam antara Ahmad Taufek dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunline Holding, Matthew Chen.menggunakan Penyelesaian Tanda Tangan Digital TM ONE (TM ONE Digital Signature Solution - TMODS).

 

Ia adalah sebuah platform menandatangani yang diperakui dan mematuhi Akta Tandatangan Digital 1997 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang menjadikan dokumen tersebut sah di sisi undang-undang dan diiktiraf di mahkamah perundangan Malaysia.

 

Melalui kerjasama itu, TM ONE bersedia menawarkan penyelesaian awan yang menyeluruh merangkumi Infrastruktur sebagai-Perkhidmatan (IaaS), Platform-sebagai-Perkhidmatan (PaaS) dan Perisian-sebagai-Perkhidmatan (SaaS) menerusi TM ONE Cloud α (disebut sebagai Cloud Alpha).

 

Sunline pula menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif dan selamat dengan mengintegrasikan trend teknologi terkini dengan amalan terbaik industri. - DagangNews.com