Kerjaya Prospek akan meningkatkan harga untuk lindung margin keuntungan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek akan meningkatkan harga untuk lindung margin keuntungan - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - RHB Research menjangkakan Kerjaya Prospek Group akan meningkatkan harga untuk tender akan datang bagi mengelakkan penurunan margin keuntungan kesan daripada kenaikan kos bahan mentah.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menyedari berlaku kenaikan harga antara 10% hingga 30% untuk bahan binaan seperti keluli dan konkrit sejak dari awal tahun ini dan pada masa sama berdepan tekanan untuk meneruskan kerja-kerja yang dimenanginya sebelum ini.

 

"Selain menaikkan harga, mereka akan menggunakan kedudukan kewangan mereka untuk berunding dengan pembekal bagi mendapatkan harga yang lebih munasabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu berjaya meraih kontrak ketiga tahun ini bernilai RM265 juta daripada Persada Mentari bagi melaksanakan kerja-kerja utama bagi projek pembangunan perumahan di  Kawasan Terbusguna Tanah Seri Tanjung Pinang (Fasa 2A), Pulau Pinang dan ia dijangka siap pada 1 Julai 2022.

 

Kejayaan mendapatkan projek itu menyaksikan tempahan kerja kumpulan itu berada pada paras RM4.4 bilion.

 

BACA JUGA: Kerjaya Prospek raih kontrak ketiga bernilai RM265 juta di Pulau Pinang bagi tahun 2022

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik pendapatan untuk FY22F-24F sebanyak 2%, 1% dan 2% dengan mereka turut menyemak naik andaian projek sebanyak RM1.6 bilion berbanding RM1.2 bilion sebelum ini.

 

"Pada masa sama, kami mengekalakan sasaran pertambahan projek untuk FY23 dan FY24 pada kadar RM1 bilion dan RM800 juta.

 

"Selepas mengambil kira baki lapan bulan dalam 2022, kami menjangkakan kumpulan itu masih berpeluang untuk meraih lebih banyak projek selepas mengambil kira kedudukan tunai mereka bagi 4Q21," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran (TP) RM1.56 sesaham. - DagangNews.com