Kerjaya Prospek raih kontrak RM153 juta dari syarikat usaha sama KWSP | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak RM153 juta dari syarikat usaha sama KWSP

 

 


KUALA LUMPUR 9 April - Kerjaya Prospek Group Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM153.5 juta daripada BBCC Development Sdn. Bhd. bagi projek pembinaan bangunan utama 44 tingkat pangsapuri perkhidmatan antara Jalan Hang Tuah dan Jalan Pudu.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi Kerjaya Bina BMK Sdn. Bhd., syarikat bersekutu 49% milik Kerjaya Prospek, menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

BBCC pula merupakan syarikat usaha sama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Bhd. dan Eco World Development Group Bhd. 

 

"Kerjaya Bina memperoleh surat anugerah kontrak hari ini (9 April) dari BBCC.

 

"Kontrak itu merangkumi pembinaan bangunan utama bagi cadangan pembangunan 44 tingkat pangsapuri perkhidmatan, 8 tingkat podium tempat letak kereta dan 7 tingkat tempat letak kereta di Lot PT 50001, Seksyen 56, off Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur," katanya. 

 

Menurut Kerjaya Prospek, kontrak berkenaan bermula 15 April 2021 dan sepatutnya disiapkan dalam tempoh 30 bulan dari tarikh permulaan.

 

Malah, katanya, kontrak ini dijangka menyediakan tambahan aliran pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh lebih 2 tahun. 

 

Syarikat itu menjangkakan kontrak berkenaan akan meningkatkan nilai projek dalam tangan memandangkan ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 hingga 2023. - DagangNews.com