Kerjaya Prospek raih projek RM28 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih projek RM28 juta di Pulau Pinang

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. menerima surat anugerah dari Persada Mentari Sdn. Bhd. melibatkan kontrak bagi kerja-kerja pembinaan bernilai RM28.4 juta. 

 

Kontrak itu bagi cadangan projek pembangunan pangsapuri perkhidmatan di tanah tambak Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang. 

 

Ia diberikan kepada Kerjaya Prospek (M) yang merupakan anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd. manakala Persada Mentari adalah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd. (E&O).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek memberitahu kontrak itu antara lain merangkumi kerja tanah dan pembinaan ruang bawah tanah bagi cadangan 2 blok 35 tingkat pangsapuri perkhidmatan.

 

"Kontrak ini sepatutnya bermula pada 18 Mei 2021 dan siap dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh permulaan," katanya hari ini.

 

Kerjaya Prospek menyatakan penerimaan kontrak dilakukan 'berdasarkan jangka masa panjang, berasaskan syarat komersial biasa yang tidak lebih baik daripada yang tersedia secara umum untuk orang awam'.

 

Menurutnya, kontrak itu dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan.

 

Katanya, pengerusi eksekutifnya, Datuk Tee Eng Ho juga merupakan pemegang saham utama tidak langsung dan pengarah E&O.

 

Malah, Datin Toh Siew Chuon dan Tee Eng Seng, yang mana kedua-duanya merupakan pengarah eksekutif Kerjaya Prospek Group adalah pemegang saham utama tidak langsung E&O.

 

"Selain itu, Amazing Parade Sdn. Bhd., yang juga pemegang saham utama syarikat (Kerjaya Prospek Group) dalam masa sama pemegang saham utama E&O," jelas syarikat itu lagi. - DagangNews.com