Kerjsama Celcom, PLUS sediakan pengalaman mobiliti serta nilai lestari buat rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerjsama Celcom, PLUS sediakan pengalaman mobiliti serta nilai lestari buat rakyat Malaysia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjalinkan kerjasama untuk membangun dan menyediakan penyelesaian inovatif, menambah baik pengalaman mobiliti dan hubungan bagi kumpulan individu dan segmen perniagaan di Malaysia.  

 

Kerjasama itu akan meliputi pembangunan penyelesaian pengurusan kumpulam, integrasi platform program kesetiaan pelanggan, dan eksplorasi aplikasi 5G yang memberi nilai tambah kepada komuniti lebuh raya. 

 

Memorandum Persefahaman (MoU) itu dimetrai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Ibu Pejabat Celcem, di sini hari ini yang disaksikan Pengerusi Celcom, Datuk Izzaddin Idris dan Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif.

 

plus

 

Melalui platform LTE dan Internet Pelbagai Benda (IoT) Celcom, kerjasama itu akan memacu aspirasi PLUS untuk mendahului sebagai sebuah Lebuhraya Pintar Masa Hadapan. 

 

Ia bakal bermula dengan pembangunan Solusi Pengurusan Kumpulan Pintar, iaitu sistem untuk menjejak kenderaan, mempertingkat keselamatan dan kesihatan pemandu, serta pengurusan penyelenggaraan kenderaan yang bertujuan menambah kecekapan dan produktiviti kumpulan kenderaan serta mempertingkat keselamatan bagi komuniti lebuh raya.

 

Idham Nawawi berkata, kerjasama dengan PLUS ini memperlihatkan usaha berterusan Celcom dalam memacu agenda IR4.0 sebagai pemangkin digital yang memandu adaptasi IoT bagi industri di Malaysia. 

 

Plus 3

 

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan daripada PLUS terhadap keupayaan teknologi kami, dan komited untuk mempertingkat infrastruktur dan operasi industri melalui penyelesaian canggih termasuk penyelesaian 5G. 

 

"Celcom dan PLUS mempunyai persamaan iaitu menghubungkan rakyat Malaysia melalui keupayaan dan infrastruktu kami, dan saya yakin sinergi antara dua organisasi ini dapat mengubah ekosistem jalanraya dan pengangkutan negara, menuju ke arah negara pintar digital," katanya.

 

plus 4

 

 

Sementara itu, Azman berkata, PLUS sentiasa meneroka peluang untuk memperkasakan hubungan sedia ada dan seterusnya membolehkan pihaknya memberikan impak positif kepada seluruh persekitaran sosioekonomi boleh mempertingkat kehidupan pelanggan. 

 

"Kerjasama dengan Celcom hari ini menyediakan platform yang lebih kukuh demi mempersiap negara untuk sebuah sistem lebuhraya masa hadapan, bermula hari ini," katanya.

 

plus 2

 

 

Celcom dan PLUS juga membangunkan produk dan perkhidmatan bersama seperti hubungan mudah alih bagi ahli PLUSTrack dan rakan niaga di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS. 

 

Tawaran unik ini bersama program kesetiaan pelanggan melalui platform PLUSMiles dan ‘Celcom rewards’ bakal disediakan melalui perkhidmatan mudah alih, iaitu Celcom Life dan PLUS App.-DagangNews.com