KUALA LUMPUR 28 Feb - Kerugian bersih Brahim's Holdings Bhd. bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (FY21) mengecil kepada RM12.49 juta berbanding RM103.1 juta bagi tempoh sama 2020.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut kepada RM33.54 juta berbanding RM82.39 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kumpulan kembali merekodkan untung bersih sebanyak RM306,000 daripada kerugian bersih RM70.42 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Namun, pendapatan bagi tempoh itu meningkat 60.13% kepada RM12.59 juta daripada RM7.86 juta disumbangkan menerusi peningkatan hasil daripada katering dalam penerbangan dan perkhidmatan berkaitan.
Hasil segmen ini meningkat 80% kepada RM11.1 juta berbanding RM6.16 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM3.12 juta berbanding kerugian berjumlah RM27.68 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan peningkatan 111%.
Sementara itu, segmen logistik dan perkhidmatan berkaitan susut 12% kepada RM1.49 juta berbanding RM1.7 juta bagi suku sama tahun lalu.
Kadar penghunian gudang terus kekal stabil, justeru, kumpulan menyedari potensi bagi perniagaan ini untuk terus berkembang pada masa hadapan.
Menurut Brahim's, pandemik COVID-19 telah mengubah keseluruhan landskap penerbangan dan industri hospitaliti.
Katanya, segmen katering dalam penerbangan sememangnya dijangka mencatatkan prestasi buruk untuk tahun penuh 2021 berikutan implikasi COVID-19 ini.
"Walaupun, prospek segmen penerbangan masih ragu-ragu dan tiada kepastian, sebarang dasar atau insentif yang ditetapkan dan diumumkan oleh kerajaan berkaitan industri penerbangan pastinya akan memberi implikasi positif kepada segmen ini.
"Industri penerbangan dan hospitaliti dijangka dapat pulih secara progresif pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com