KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kenanga Research menjangkakan kerugian Capital A Bhd. akan terus meningkat 36% kepada RM2.1 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) di sebalik prospek pemulihan dalam sektor penerbangan pada separuh kedua ini.
Malah, penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon turut menyemak turun unjuran untung bersih bagi FY23 sebanyak 44% berdasarkan kepada anggaran pertumbuhan penumpang yang lebih rendah.
Menurutnya, Capital A menjangkakan permintaan penumpangnya akan terus meningkat pada separuh kedua 2022, berdasarkan faktor muatan yang menggalakkan dicatatkan menerusi 159 laluan antarabangsa yang dilancarkan semula pada suku kedua.
"Walaupun kami berkongsi keyakinannya bahawa pemulihan dalam perjalanan udara akan lebih pantas dari separuh kedua, tetapi ia memerlukan pelan penyelarasan yang lebih berdaya maju dan holistik untuk mengeluarkannya daripada status Nota Amalan 17 (PN17)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Capital A Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM931.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM580.06 juta pada suku yang sama tahun lalu disebabkan kerugian pertukaran asing berjumlah RM480.3 juta.
Perolehan bagi tempoh itu bagaimanapun melonjak kepada RM1.47 bilion daripada RM388.91 juta dengan 84% daripadanya disumbangkan menerusi segmen penerbangan manakala perniagaan logistik (6%), digital dan lain-lain (5.5%) dan baki 4.5% disumbangkan oleh perniagaan kejuruteraan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, kerugian kumpulan terus melebar kepada RM1.84 bilion berbanding RM1.35 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. tetapi pendapatan meningkat kepada RM2.28 bilion daripada RM700.05 juta hasil daripada perjalanan udara yang bertambah baik pada tempoh terbabit.
Ping Khoon berkata, kerugian teras bersih pada separuh pertama adalah lebih tinggi daripada jangkaan RM1.4 bilion, berbanding unjuran tahun kewangan penuh RM1.6 bilion dan konsensus, RM1.4 bilion.
"Perbezaan terhadap ramalan kami sebahagian besarnya disebabkan lantunan semula dalam perjalanan udara yang kurang daripada jangkaan kami," katanya.
Menurutnya, pada Ogos, AirAsia beroperasi dengan 108 pesawat dan ia dijangka meningkat dengan 160 pesawat menjelang akhir tahun ini.
Namun, katanya, segmen digital Capital A dijangka terus mencatat kerugian manakala AirAsia Super App pula dijangka terus berkembang disokong permintaan perjalanan yang semakin meningkat, beserta pertumbuhan daripada airasia Food, Ride dan Xpress.
"Selain itu, Teleport dijangka terus berkembang sepanjang tahun ini kerana ia menambah lorong antarabangsa dan hab penghantaran baharu.
"BigPay pula telah melancarkan platform pinjaman digitalnya untuk menyediakan produk pinjaman baharu," katanya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Capital A dengan harga sasaran lebih rendah pada 60 sen daripada 65 sen sebelum ini.
Risiko kepada penarafan tersebut bergantung kepada pemulihan pengangkutan udara di tengah-tengah kemelesetan global, harga bahan api tinggi menyebabkan perjalanan udara terutama kos rendah tidak mampu dimiliki, ketidakupayaan Capital A keluar daripada status PN17 dan penggunaan tunai yang berterusan pada aset digitalnya.
"Walaupun kami mengurangkan penilaian operasi syarikat penerbangannya (untuk mencerminkan penurunan taraf pendapatan dan penurunan penarafan beberapa syarikat penerbangan baru-baru ini di seluruh dunia), kami buat kali pertama meletakkan nilai pada aset digitalnya," tambahnya.
Setakat 10.37 pagi, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 2.4% kepada 61 sen dengan 3.79 juta saham diniagakan. - DagangNews.com