Kerugian MAHB melebar kepada RM226 juta pada Q2 | DagangNews Skip to main content

Kerugian MAHB melebar kepada RM226 juta pada Q2

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kerugian bersih pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus mencatatkan peningkatan kepada RM226.1 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) daripada RM91.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun lalu. 

 

Menurut makluman MAHB kepada Bursa Malaysia, peningkatan itu, antaranya disebabkan oleh susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, penyusutan dalam pendapatan lain serta peningkatan margin dalam perbelanjaan operasi bagi suku tahun semasa. 

 

Bagaimanapun, kumpulan memaklumkan perbelanjaan operasi utama menyusut sedikit sebanyak RM0.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

MAHB tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku tahun semasa.

 

Bagi perbandingan suku tahunan, kumpulan mencatatkan peningkatan margin dari segi kerugian sebelum cukai (LBT) pada 2QFY21 iaitu RM290.5 juta daripada RM280.5 juta, disebabkan oleh penyusutan dalam hasil dan pendapatan lain serta susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi.

 

“Kerugian yang lebih tinggi, bagaimanapun dikurangkan oleh penyusutan dalam perbelanjaan operasi, sumbangan keuntungan daripada syarikat usaha sama dan kos kewangan yang lebih rendah pada suku tahun semasa. 

 

“Perbelanjaan operasi utama berkurangan sebanyak RM8.4 juta berbanding suku tahun sebelumnya, dipacu oleh inisiatif pengawalan kos berterusan oleh kumpulan,” jelas MAHB.

 

Secara keseluruhannya, MAHB menyaksikan kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM447.4 juta pada separuh pertama FY21 (1HFY21) daripada RM111.5 juta. 

 

Kata MAHB, hasil daripada operasi lapangan terbang menguncup sebanyak 49.2% kepada RM567.3 juta. 

 

Sementara, hasil dalam segmen aeronatik menyusut 46.0% kepada RM295.9 juta bagi 1HFY21 berbanding tempoh sama pada tahun lalu ekoran penguncupan 55.4% penumpang.

 

“Operasi di Malaysia mencatatkan penguncupan ketara dari segi pergerakan penumpang sebanyak 84.4% kepada 3 juta penumpang berbanding 19.2 juta penumpang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. 

 

“Namun, operasi di Turki menunjukkan tanda untuk kembali normal memandangkan trafik penumpang telah meningkat sebanyak 16.9% kepada 9 juta berbanding 7.7 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu,” tambah MAHB. 

 

Melangkah ke hadapan, MAHB percaya jumlah dos suntikan vaksin di Malaysia yang tinggi memberikan keyakinan untuk trafik penumpang meningkat semula, sekurang-kurangnya bagi sektor domestik. 

 

Di negara lain, terdapat beberapa tanda berhati-hati terhadap pengurusan trafik merentas sempadan, yang membenarkan mereka yang sudah divaksinasi untuk mengembara, tetapi masih megekalkan langkah keselamatan termasuk pas kesihatan digital. 

 

Protokol perjalanan dan standard bersama, pas kesihatan digital di samping memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang, akan memudahkan prospek penyambungan semula perjalanan udara dan rentas sempadan, jelas MAHB. - DagangNews.com