Kerugian Malaysia Airports meningkat kepada RM221 juta | DagangNews Skip to main content

Kerugian Malaysia Airports meningkat kepada RM221 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyaksikan kerugian bersih kumpulan berkembang kepada RM221.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) yang berakhir 31 Mac lalu. 

 

Nilai kerugian itu meningkat daripada RM20.4 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, seiring prestasi hasil kumpulan yang lebih rendah bagi suku tahun semasa iaitu RM336.9 juta, menurut laporan kewangan MAHB di Bursa Malaysia. 

 

“Hasil kumpulan bagi suku tahun semasa menyusut sebanyak 63.9% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM336.9 juta sejajar penguncupan pergerakan penumpang sebanyak 76.9% ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan rentas negeri yang berterusan.

 

“Hasil daripada operasi lapangan terbang jatuh sebanyak 66.7% kepada RM291.9 juta. Hasil daripada operasi bukan lapangan terbang menurun sebanyak 19.8% atau RM11.1 juta ekoran hasil yang lebih rendah daripada perniagaan hotel dan projek serta penyelenggaran pembaikan. 

 

“Secara keseluruhannya, operasi Malaysia dan Turki telah mencatatkan penurunan dari segi hasil, masing-masing sebanyak 75.2% kepada RM163.4 juta dan 39.5% kepada RM152.2 juta. Operasi di Qatar mencatatkan penurunan yang kecil dari segi hasil daripada RM22.0 juta kepada RM21.3 juta,” jelas MAHB, hari ini.

 

Bagi suku tahun semasa, kumpulan tidak mengisytiharkan atau membayar sebarang dividen. 

 

Jelas MAHB, kerugian sebelum cukai (LBT) kumpulan bagaimanapun dikurangkan oleh perbelanjaan operasi utama yang lebih rendah, penurunan 22% berbanding suku tahun sebelumnya. 

 

Sebagai rekod, rangkaian lapangan terbang kumpulan mencatatkan 5.9 juta jumlah penumpang bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2021. 

 

Bagi tempoh sama, trafik penumpang antarabangsa dan domestik kumpulan pula, masing-masing menguncup sebanyak 87.1% dan 68.3%.

 

Melangkah ke hadapan, MAHB percaya pemulihan trafik akan terus bergantung kepada keberkesanan pengedaran vaksin dan sejauh mana sekatan perjalanan dikuatkuasakan di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

 

“Pas perjalanan kesihatan digital dan prosedur perjalanan yang lebih diselaraskan di seluruh negara dapat mendorong perjalanan merentas sempadan dan menyokong pemulihan perjalanan selanjutnya.

 

“Namun, permulaan utama bagi perjalanan udara adalah tahap kawalan kes COVID-19. MAHB akan terus mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan impak dengan melaksanakan pelan pengoptimuman kos yang agresif. 

 

“Langkah-langkah ini termasuk penilaian semula kecekapan operasi, iaitu penentuan semula kos dan mengutamakan perbelanjaan modal untuk menjimatkan simpanan tunai dan memastikan bahawa kumpulan dapat memenuhi tanggungjawab kewangan dan operasi,” tambah MAHB lanjut. - DagangNews.com