KUALA LUMPUR 13 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan DKSH Holdings (Malaysia) Bhd mencatatkan prestasi lebih lemah pada suku akan datang sebelum kembali mencatatkan keputusan lebih baik pada suku keempat tahun ini.
Katanya, prestasi lemah bagi suku akan datang itu adalah kerana ketiadaan musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri bagi melonjakkan hasil kumpulan.
"Kami juga menjangkakan sentimen pengguna kekal positif, disokong oleh langkah kerajaan menerusi pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji kakitangan awam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.9% kepada RM3.9 bilion pada separuh pertama 2024 dengan pendapatan teras melonjak 14.8% kepada RM80.6 juta yang berada dalam jangkaan firma itu.
Hasil jualan segmen barangan pengguna bagi tempoh tersebut juga tidak berubah pada RM2.1 bilion manakala segmen penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi yang baik dengan hasil meningkat sebanyak 8.6% kepada RM1.7 bilion dan segmen lain-lain meningkat kepada RM50 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen penjagaan kesihatan dirangsang oleh pertumbuhan daripada pelanggan sedia ada dan baharu yang dijamin.
Katanya, kumpulan itu secara konsisten meneruskan strategi aktif untuk mengembangkan portfolio produknya.
"Sebelum ini, DKSH telah menerima beberapa pelanggan baharu iaitu SciGen, Sunward, Alvimedica, Botrem, Alcon (portfolio tambahan) dan PeopleBio.
"Momentum penjagaan kesihatan dijangka kekal kukuh, dan pengurusan mengulangi keyakinannya bahawa segmen ini akan menunjukkan prestasi yang baik untuk baki tahun ini," katanya.
HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.03 sesaham. - DagangNews.com