Ketidakpastian ekonomi Malaysia dijangka berlanjutan - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Ketidakpastian ekonomi Malaysia dijangka berlanjutan - Jabatan Perangkaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Mengambil kira prestasi Indeks Pelopor (IP) dan senario terkini penularan wabak COVID-19, ketidakpastian dijangka berlanjutan pada bulan-bulan akan datang.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pemulihan ekonomi sangat bergantung kepada sejauh mana negara dapat membendung penularan COVID-19 dan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan ke atas sektor ekonomi dan sosial. 

 

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada suku kedua tahun 2021 (2Q21).

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Berdasarkan prestasi beberapa petunjuk ekonomi utama, ekonomi dijangka terus meningkat pada 2Q21 terutamanya disumbangkan oleh asas yang rendah berikutan penguncupan ekonomi 17.1% pada 2Q20. 

 

“Lanjutan daripada itu, IP untuk Mac 2021 menunjukkan pertumbuhan kukuh 17.3%, disumbangkan terutamanya oleh asas yang rendah pada Mac 2020 berikutan sekatan pergerakan di seluruh negara dan prestasi komponen IP yang lebih baik. 

 

“Mengambil kira prestasi IP dan senario terkini penularan wabak COVID-19, ketidakpastian dijangka berlanjutan pada bulan-bulan akan datang,” katanya dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2021, yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini. 

 

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penurunan marginal 0.5% pada 1Q21, kekal dalam trend pemulihan daripada penguncupan 3.4% pada suku tahun sebelumnya. 

 

Prestasi yang lebih baik ini disokong oleh pengembangan dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor pertanian. 

 

Di samping itu, semua sektor ekonomi merekodkan prestasi yang lebih baik berbanding dua suku tahun yang lepas, tambah Mohd. Uzir.

 

Pemulihan berperingkat dalam ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama dipengaruhi oleh pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi semasa PKP 2.0 dengan pelaksanaannya yang lebih longgar berbanding PKP 1.0 yang dikenakan pada Mac 2020. 

 

Pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan turut mendorong pemulihan ekonomi dan mengurangkan kesan potensi kerugian ekonomi negara, katanya lagi. 

 

Prestasi beberapa petunjuk ekonomi Malaysia pada 1Q21, khususnya pada Mac 2021 merupakan faktor perangsang yang memacu prestasi keseluruhan ekonomi Malaysia pada suku tahun berkenaan.

 

“Saya amat yakin bahawa MESR dapat menjadi input bermanfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk sektor awam dan swasta, penyelidik, ahli akademik dan individu. 

 

“Dalam situasi yang tidak pernah diduga ini, fakta dan angka yang kejat adalah sangat penting ke arah penggubalan polisi dan pembuatan keputusan yang mampan. 

 

“Dengan itu, sebarang maklum balas dan pandangan bagi memantapkan lagi laporan ini pada masa hadapan amat dialu-alukan,” ujar Mohd. Uzir lanjut. - DagangNews.com