Ketidakstabilan politik dalam 'radar' pelabur | DagangNews Skip to main content

Ketidakstabilan politik dalam 'radar' pelabur

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 April - Ketidakstabilan politik, terus menjadi antara faktor utama yang menjejaskan pasaran ekuiti tempatan sepanjang Mac selain kebimbangan meningkatnya hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS). 

 

Ini menyaksikan FBM KLCI susut 0.3% atau 4 mata pada bulan tersebut. Indeks mencapai paras tertinggi direkodkan pada 10 Mac, 1,640 mata setelah meningkat 62 mata.

 

Analisis CGS-CIMB bagi Mac bagaimanapun menunjukkan, pasaran kemudiannya hilang arah dan lebih daripada 2 minggu pada hujung bulan disebabkan jualan oleh pelabur asing dan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik. 

 

Terdapat beberapa pertelingkahan yang berlaku pada bulan ini, antaranya, UMNO bersuara tiada lagi kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PKR. 

 

"Selain itu, DAP pula menyatakan tiada sebarang kerjasama politik dengan UMNO dalam PRU-15, UMNO akan bersendirian bertanding pada pilihan raya tersebut manakala Bersatu dan Pas pula bekerjasama menghadapi PRU-15. 

 

"Antara perkara penting yang berlaku pada Mac juga termasuklah Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan Malaysia kekal dalam senarai FTE Russell WGBI," katanya dalam laporan analisis berkenaan. 

 

Menurut CGS-CIMB, sentimen pasaran pada Mac banyak disokong oleh kenaikan harga minyak mentah, keputusan kerajaan menamatkan PKP di empat negeri pada 4 Mac dan juga pengumuman pakej rangsangan ekonomi, Pemerkasa bernilai RM20 bilion pada 18 Mac lalu. 

 

"Bagaimanapun, pasaran terus susut dengan ketara pada hari terakhir bulan ini disebabkan jualan oleh pelabur asing," katanya. 

 

Sektor yang mencatat prestasi terbaik ialah hartanah, pembinaan dan pengangkutan manakala sektor penjagaan kesihatan, teknologi dan perladangan mencatat prestasi terburuk. 

 

Pada Mac, jumlah purata dagangan harian jatuh kepada 9.2 bilion unit berbanding 9.5 unit pada Februari manakala nilai purata dagangan harian susut kepada RM5.1 bilion berbanding RM5.3 bilion pada bulan sebelumnya. 

 

Pelabur runcit pula kekal menjadi pembeli ekuiti terbesar dengan pelabur institusi tempatan terus menjadi penjual bersih terbesar dalam pasaran ekuiti.

 

Sementara itu, pelabur asing kekal menjadi penjual bersih tetapi jualan ekuiti jatuh kepada hanya RM34 juta pada Mac berbanding RM867 juta pada Februari. 

 

Ini menjadikan, aliran keluar asing terkumpul setakat ini sejak 2010 adalah sebanyak RM35.1 bilion, menurut firma itu.

 

CGS-CIMB berkata, bagi April ini, pelabur akan terus memerhati perkembangan politik tanah air selepas Presiden UMNO berikrar akan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional bila-bila masa jika tiada petunjuk pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat. 

 

"Kami akan terus kekal berhati-hati terhadap pasaran dengan penanda aras bagi April berada dalam julat antara 1,557 dan 1,642 mata," katanya. - DagangNews.com