Ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine, harga minyak tinggi tidak mampan | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine, harga minyak tinggi tidak mampan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mac - Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi mengatasi paras sebelum tercetusnya konflik Rusia-Ukraine, meskipun dengan harga melebihi AS$120 setong adalah tidak mampan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Sepanjang konflik tersebut, harga minyak Brent mencecah AS$120 setong pada awal Mac, tetapi kembali menurun baru-baru ini apabila permintaan minyak dari China berkurangan berikutan penutupan di bandar utamanya akibat wabak COVID-19.

 

Unjuran semasa firma itu bagi 2022 berlegar pada paras AS$85 hingga AS$90 setong dan dijangka menaik
dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum menyemak semula ramalan berikutan ketidakpastian dalam krisis tersebut.

 

Namun, katanya, harga minyak mentah mungkin tidak akan kembali ke paras sebelum krisis dalam tempoh terdekat hingga pertengahan.

 

"Sekiranya perang kembali reda, kami percaya harga minyak mentah akan kekal disokong oleh permintaan minyak global semasa yang kukuh berikutan pembukaan semula ekonomi global.

 

"Selain itu, ia turut dipengaruhi kekangan bekalan akibat daripada pelaburan yang kurang selama bertahun-tahun dalam mengembangkan kapasiti industri dan permintaan terpendam daripada pengguna dan perniagaan yang menahan pembelian mereka disebabkan kenaikan harga," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

 

oil barrel

 

 

Firma itu juga mendapati kedua-dua pengeluar syal Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berada di sisi yang sama, dengan kedua-duanya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan pengeluaran dengan cepat.

 

"Syarikat minyak utama bimbang untuk mengejar harga dalam jangka pendek, yang akhirnya akan memusnahkan nilai bagi pemegang saham.

 

"Akhirnya, OPEC+ (OPEC dan sekutunya) memutuskan untuk mengekalkan pendiriannya dengan meningkatkan pengeluaran bulanan sebanyak 400,000 menjelang April 2022," katanya.

 

Menurut HLIB, risiko geopolitik daripada perang Rusia-Ukraine menyerlahkan risiko asas yang terhasil daripada pelupusan dalam industri minyak dan gas (O&G) ketika dunia mendesak untuk inisiatif penyahkarbonan.

 

Jelasnya, industri minyak AS menghadapi kesukaran dalam meningkatkan kapasiti untuk menghadapi permintaan minyak yang melambung tinggi akibat daripada pelaburan yang kurang dalam industri selama bertahun-tahun.

 

"Walaupun dunia pasti akan dan harus beralih kepada tenaga yang lebih bersih, tetapi ia harus berbuat demikian dalam kadar yang memastikan perkembangan sistematik yang meminimumkan risiko peralihan.

 

"Krisis minyak mempunyai kesan negatif yang meluas dan teruk yang boleh membawa kepada peningkatan kos sara hidup dan kelembapan ekonomi," jelasnya.

 

 

petronas

 

 

Dalam pada itu, HLIB menjangkakan Petronas akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) pada paras RM40 hingga RM45 bilion setahun bagi tempoh 2022-2027.

 

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 20% akan diperuntukkan untuk inisiatif tenaga baharu dan rendah karbon (berbanding 9% sebelum ini).

 

"Semakan dengan syarikat O&G di bawah liputan kami mendapati, paras capex yang ditunjukkan sepatutnya mencukupi untuk membantu sektor ini pulih pada 2022, walaupun masih lebih rendah daripada paras sebelum pandemik (2018-2019)," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pilihan utamanya ialah Dagang Nexchange Bhd. (DNeX), Bumi Armada Bhd. dan Dialog Group Bhd. 

 

Ia memberi saranan 'beli' terhadap ketiga-tiga saham ini dengan harga sasaran DNeX pada RM1.64 diikuti 84 sen (Bumi Armada) dan RM3.32 (Dialog). - DagangNews.com