Ketidaktentuan politik jejas pertumbuhan ekonomi Malaysia 10 tahun akan datang | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan politik jejas pertumbuhan ekonomi Malaysia 10 tahun akan datang

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Petumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka merosot menjelang 10 tahun akan datang terutamanya disebabkan oleh ketidaktentuan politik dan faktor-faktor lain. 

Institusi kewangan, Fitch Solutions Country Risk & Industry Research meramalkan pertumbuhan Malaysia hanya mencecah 3.4% berbanding jangkaan 10 tahun lalu sebanyak 6.4%.

“Berdepan pertumbuhan yang mencabar didorong tahap industri yang rendah, Malaysia perlu menambahbaik ekonomi untuk keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana,” jelas Fitch Solutions menurut Malay Mail. 

Tambah firma itu, sebarang usaha untuk menambahbaik ekonomi Malaysia telah dijejaskan oleh ketidaktentuan politik dan momentum perubahan terhenti ketika peralihan terhadap populisme, mendatangkan risiko serius kepada kejayaan negara.

“Kami menjangkakan landskap politik Malaysia kekal tidak stabil dan tidak menentu sehingga sedekad akan datang disebabkan kekalahan pilihan raya pertama yang dialami oleh gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah lama pada tahun 2018.

“Dengan kedua-dua ahli politik dan pemilih menyesuaikan diri dengan realiti baharu, kami menjangkakan pemerintahan sering bertukar tangan, menyebabkan persoalan dasar yang berterusan dan momentum reformasi terhenti. 

“Potensinya dapat dilihat dengan jelas semasa krisis politik Februari 2020 ketika pemerintah Pakatan Harapan digulingkan susulan pergerakan dari ‘pintu belakang’ yang dicetuskan oleh persaingan antara peribadi dan parti dalam gabungan empat parti,” kata Fitch Solutions.

Ketidaktentuan itu akan menjadi faktor negatif oleh bakal pelabur ketika perniagaan dan negara di seluruh dunia mempercepat rancangan untuk memindahkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada operasi mereka keluar dari China.

Jelas Fitch Solutions, keadaan itu mungkin mendorong Malaysia untuk bergerak agresif untuk bersaing dengan rakan serantau lain terutamanya Vietnam dalam menarik pelaburan asing. 

Faktor lain yang menyebabkan pertumbuhan KDNK perlahan di Malaysia pada dekad akan datang termasuk pertumbuhan penduduk yang perlahan, dijangka mencapai 1% berbanding 2.3% dan ruang fiskal yang semakin berkurang untuk campur tangan masa depan. - DagangNews.com