Ketidaktentuan politik, lockdown berisiko buat MRCB - HLIB | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan politik, lockdown berisiko buat MRCB - HLIB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) dilihat akan terus berdepan cabaran dan menyaksikan prospeknya kekal suram. 

 

Syarikat pembinaan ini bukan sahaja bergelut dengan kesan akibat pelaksanaan total lockdown yang dilaksanakan kerajaan hingga menjejaskan beberapa projeknya tetapi juga kedudukan politik semasa. 

 

Ini kerana MRCB dilaporkan telah mengemukakan cadangan pembinaan membabitkan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3).

 

Pada April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan bersetuju menyambung semula projek MRT3 di Lembah Klang mulai pertengahan tahun ini selepas tertangguh ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank Research (HLIB), Edwin Woo berpandangan, kertas cadangan yang dikemukakan MRCB itu mungkin terdiri daripada struktur pembayaran semula (deferred payment) berbanding penglibatannya dalam segmen pembangunan hartanah. 

 

Katanya, dengan mengandaikan gearan bersih akan meningkat kepada 0.6x, MRCB boleh mendapat RM1.6 bilion untuk membiayai pelaksanaan kontrak pembayaran semula itu. 

 

"Sehingga perkembangan MRT3 selanjutnya (pada 2022 tanpa mengambil kira halangan politik), MRCB terpaksa bertahan dengan nilai projek sedia ada sebanyak RM17 bilion (tidak termasuk LRT3, ekuiti yang diperakui).

 

"Sementara itu, mengenai landskap tender pembinaan, MRCB tidak menyertai mana-mana tender yang layak tahun ini, selaras dengan aliran kontrak yang dijejaki kami," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baru-baru ini, HLIB Research mengadakan sesi sidang video secara maya dengan pengurusan MRCB untuk meninjau perkembangan terkini dan prospek syarikat tersebut.

 

Berdasarkan hasil mesyuarat berkenaan, pengurusan dijangka menangguhkan beberapa projek hartanah yang dirancang pada tahun hadapan. 

 

Sebelum ini, menurut Edwin, MRCB merancang untuk melancarkan projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion terdiri daripada pembangunan di Kwasa Sentral, PJ Sentral dan KL Sentral.

 

Tahun ini pemain industri dilihat berdepan dengan cabaran dari segi rantaian bekalan disebabkan kekurangan tenaga buruh dan bahan binaan dengan trend itu bermula sejak awal tahun ini.

 

"Kami melihat masalah ini akan berlarutan dengan isu buruh menjadi masalah utama terutama disebabkan jangkitan yang tinggi dan kadar vaksinasi rendah di negara-negara sumber. Melainkan langkah-langkah pengurangan dilaksanakan, kemungkinan operasi kekal lemah tahun ini," katanya. 

 

Edwin berkata, adalah tidak menghairankan jika prestasi kewangan suku kedua dan ketiga ini dijangka terus mencabar. 

 

Keadaan ini dapat dilihat ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan fasa pertama yang masih berterusan hingga kini. 

 

"Pada Jun, MRCB masih berupaya meraih kerja-kerja infrastruktur secara dalam talian ketika fasa pertama manakala bagi segmen hartanah pula hanya projek TRIA, 9 Seputeh dibenarkan beroperasi (merangkumi 24% daripada jualan belum direkodkan), semuanya dihentikan selama 2 minggu disebabkan pelaksanaan PKPD pada Julai.

 

"Buat masa ini, syarikat sudah memperoleh semula kadar operasi normal antara 20 hingga 30%. Kami berpendapat, normalisasi selanjutnya memerlukan peralihan ke fasa kedua kerana kerja-kerja pembinaan menghadapi cabaran kelulusan pada fasa pertama," jelasnya. 

 

HLIB Research mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham MRCB dengan harga sasaran pada 41 sen. 

 

Ia juga mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 dengan masing-masing kepada -10.2%, -3.4% dan -2.1%.

 

Di sebalik prestasi harga sahamnya yang lemah sejak akhir-akhir ini, firma itu juga percaya ketidaktentuan politik dan kekurangan pemangkin akan terus mengheret prestasi MRCB dalam tempoh jangka pendek.   

 

Setakat 11.43 pagi ini, saham MRCB menokok 0.05 sen kepada 35 sen dengan 2.35 juta saham diniagakan. - DagangNews.com