KUALA LUMPUR 25 Sept — Ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka diumumkan selepas pemeteraian perjanjian langganan saham dimuktamadkan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang mempengerusikan bersama mesyuarat pasukan petugas 5G akan menyelia aspek akhir sebelum pemeteraian itu dijalankan.
“Saya telah memaklumkan kepada semua Ketua Pegawai Eksekutif pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tentang memuktamadkan pemeteraian perjanjian langganan saham, semoga diselesaikan dalam tempoh minggu depan jika semuanya berjalan lancar.
"Kami juga akan memaklumkan kepada media bila pemeteraian akan dilakukan selepas semua MNO yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu telah mengambil ekuiti mereka...
"Saya fikir mungkin sama ada semasa atau selepas menandatangani (kami akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif), mudah-mudahan," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Ekspo Digital Malaysia (MDX 2023), di sini hari ini, Bernama melaporkan.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata semua syarikat telekomunikasi telah bersetuju menandatangani perjanjian capaian untuk menyediakan perkhidmatan 5G tetapi soal pemilikan saham dalam DNB masih belum diumumkan.
Pada 21 Julai, Fahmi berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan perbincangan mengenai pegangan ekuiti dalam DNB tidak lama lagi.
Ini akan terus menyokong pembangunan rangkaian 5G sehingga liputan mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini. - DagangNews.com