Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Prestasi keuntungan syarikat Bermaz Auto Berhad (Bermaz) dijangka melonjak lebih tinggi menjelang separuh kedua tahun kewangan 2021 (2H21).
CGS-CIMB Research berkata, pihaknya mengharapkan Bermaz dapat mengekalkan momentum pemulihan penjualan yang baik dari suku ketiga tahun kewangan 2021 dan seterusnya.
"Kami memotong EPS (jangkaan perolehan sesaham) tahun kewangan 2021 hingga 2023 Bermaz bagi mencerminkan pengurangan margin disebabkan oleh perubahan campuran jualan dan sumbangan yang lebih rendah dari MMSB (Mazda Malaysia).
"Bagaimanapun, kami masih mengharapkan Bermaz dapat mengekalkan momentum pemulihan penjualan yang sihat dari suku ketiga tahun kewangan 2021 dan seterusnya, didorong oleh permintaan yang tinggi disebabkan tunggakan pesanan kumpulan.
"Kami meletakkan Bermaz untuk mencapai 10% pertumbuhan jualan pada tahun kewangan 2021 yang didorong oleh pengecualian cukai jualan di Malaysia," jelas CGS-CIMB Research.
Bermaz mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 34% pada suku kedua tahun kewangan 2021 berbanding suku sebelumnya yang dipacu oleh penjualan yang lebih tinggi di Malaysia iaitu peningkatan 32% kepada 3,520 unit.
Meskipun mencatatkan peningkatan dalam pendapatan, keuntungan bersih syarikat berkenaan bagaimanapun menurun 50% kepada RM26 juta berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, MIDF Research memberitahu, kedudukan kunci kira-kira Bermaz mencatatkan peningkatan ketara pada suku kedua tahun kewangan 2021.
Jelas MIDF Research, tunai bersih syarikat berkenaan juga meningkat kepada RM227 juta daripada RM71 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021.
"Memandangkan hasil Bermaz yang lebih lemah daripada jangkaan, kami secara konsevatif membuat semakan yang lebih rendah pendapatan Bermaz bagi tahun kewangan 2021/2022 sebanyak 28%/24% bagi mencerminkan jangkaan margin yang lebih rendah.
"Walaupun semakan dibuat, kami tetap menjangkakan pendapatan akan pulih sebanyak 66% pada tahun kewangan 2022," jelas MIDF Research. - DagangNews.com