KUALA LUMPUR 24 Jan - Keuntungan bersih Betamek Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 meningkat lebih dua kali ganda kepada RM5.05 juta daripada RM1.66 juta setahun sebelumnya, berikutan perolehan lebih tinggi sebanyak RM59.22 juta berbanding RM54.73 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Betamek berkata hasil yang lebih tinggi adalah terutamanya daripada segmen produk audio dan visual (AV) kenderaannya, sambil menambah bahawa hasil diperoleh sepenuhnya daripada pelanggan di Malaysia.
Pendapatan sesaham ialah 1.12 sen berbanding 0.37 sen sebelumnya.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham yang akan dibayar pada 23 Februari ini.
Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Disember, Betamek mencatatkan keuntungan bersih RM15.51 juta berbanding RM10.56 juta dengan hasil RM166.01 juta berbanding RM149.76 juta sebelumnya.
Pengarah Eksekutif Betamek Fauzi Ghani berkata, keuntungan 3QFY2024 dan 9MFY2024 syarikat juga telah meningkat dengan ketara berikutan kawalan syarikat yang lebih baik terhadap perbelanjaan pentadbiran dan operasi.
Mengenai prospeknya, Fauzi berkata beliau yakin permintaan terhadap produk AV kenderaan syarikat dan aksesori kenderaan akan terus berkembang seiring dengan peningkatan permintaan untuk kenderaan pelanggan utamanya.
Beliau berkata Betamek sentiasa optimistik dengan potensi prestasinya untuk tahun kewangan semasa dan seterusnya.
Menurut Fauzi, Betamek telah mengisytiharkan dividen RM15.8 juta sejak penyenaraiannya pada Oktober 2022. - DagangNews.com