PULAU PINANG 25 Feb – Iconic Worldwide Berhad, syarikat terlibat di dalam pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan peribadi (PPE), mengumumkan keputusan suku ketiga berakhir 31 Disember lalu (3QFY22), yang menunjukkan peningkatan yang kukuh di sebalik sumbangan yang semakin tinggi daripada segmen pembuatan.
Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, perolehan suku Kumpulan menunjukkan peningkatan 23.03% kepada RM20.88 juta berbanding RM16.97 juta sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai meningkat sebanyak 42.68% kepada RM4.68 juta berbanding RM3.28 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.
Untuk tempoh kumulatif bagi 9 bulan, Iconic Worldwide melihat perolehan dan keuntungan selepas cukai meningkat, masing-masingnya 74.88% dan 55.86% kepada RM58.46 juta dan RM11.81 juta, berbanding RM33.43 juta dan RM7.58 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2021.
Pendapatan tinggi dan sumbangan margin daripada segmen pembuatan digabungkan dengan sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah yang menyumbang secara kukuh kepada peningkatan semasa dan dalam tempoh kewangan kumulatif.
Pengarah Urusannya, Dato’ Tan Kean Tet berkata, pendapatan daripada segmen pembuatan ketika ini disumbangkan oleh jualan dan pengedaran pelitup muka pakai buang.
''Oleh itu kami jangka sumbangan akan bertambah baik malah lebih ketara dalam suku berakhir 31 Mac ini (suku keempat 2022) sebagaimana kita baru sahaja memulakan enam barisan pemgeluaran sarung tangan di kilang pembuatan PPE bulan Disember lalu.
''Untuk segmen pembangunan hartanah, Iconic Worldwide sedang menyemak beberapa prospek projek baru yang akan dilancar dengan memanfaatkan simpanan tanah yang ada,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 15 Januari 2021, Iconic Worldwide menerusi anak syarikatnya Iconic Medicare Sdn Bhd melancarkan kemudahan pembuatan sarung tangan dan pelitup muka bernilai RM200 juta di Taman Industri Batu Kawan Pulau Pinang.
Ketika ini enam garisan celup sarung tangan berganda telah mula berjalan di kilang. Selain itu, enam lagi garisan celup sarung tangan dan 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan akan mula berjalan dan dipasang menjelang Mac tahun ini.
Kumpulan juga dalam perancangan untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di Alma, Seberang Perai Pulau Pinang dijangka dilancarkan pada suku keempat 2022.
Projek mampu milik ini mengandungi 751 units rumah mampu milik dan 16 unit kedai pejabat dengan nilai pembangunan kasar RM220 juta. – DagangNews.com