Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Prestasi kewangan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) tidak terkesan teruk akibat COVID-19 setelah keuntungan bersihnya pada suku kedua 2020 (2Q20) melonjak 1300% kepada RM378 juta daripada RM27 juta pada 2Q19.
Angka itu sekali gus menyaksikan keuntungan bersih separuh tahun pertama 2020 (1H20) firma tersebut bernilai RM846 juta, naik 738% berbanding tempoh sama pada tahun lalu (RM101 juta).
Lonjakan keuntungan bersih SDP didorong oleh harga minyak sawit mentah (CPO) dan inti sawit (PK) yang lebih kukuh.
Pengerusi SDP, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, firmanya berjaya mengurangkan impak risiko pada beberapa segmen bisnes kerana terdapat spektrum penuh terhadap nilai rantaian minyak sawit.
“Ini membolehkan kami kekal fokus pada keutamaan syarikat ketika berdepan cabaran persekitaran global iaitu kesihatan dan keselamatan pekerja, perlindungan pemegang saham, pekerjaan dan wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung prestasi kewangan SDP pada 2Q20.
Bagaimanapun, kekurangan buruh asing di Malaysia termasuk sekatan perjalanan untuk mengekang penularan COVID-19 dijangka memberi impak ke atas pengeluaran hasil tanaman pada separuh tahun kedua 2020 (2H20).
Bagi mengatasi isu berkenaan, SDP giat berusaha untuk mencari jalan penyelesaian termasuk merekrut pekerja tempatan serta menambah baik usaha digital dan penjenteraan.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, permintaan terhadap produk SDP dijangka meningkat pada 2H20 memandangkan seluruh dunia mula melonggarkan sekatan perintah berkurung sekali gus mendorong usaha mengisi semula stok.
“Kami menjangkakan harga minyak sawit akan kekal stabil pada 2H20 berikutan terdapat kebimbangan terhadap bekalan minyak boleh dimakan kerana La Nina diramalkan berlaku,” katanya dalam kenyataan sama.
Sekiranya keadaan cuaca tidak teruk, kadar pengeluaran buah kelapa sawit pada tahun ini dijangka tidak berubah.
Tetapi, prestasi kewangan SDP yang berakhir 31 Disember 2020 dipercayai akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi kerana terdapat kemungkinan berlakunya gelombang jangkitan COVID-19 yang kedua.
SDP turut mengumumkan dividen interim sebanyak 2.57 sen sesaham dan dividen interim khas bernilai 1.45 sen sesaham yang akan dibayar pada 26 November 2020. - DagangNews.com