Keuntungan bersih Zoom melambung 3,300% | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Zoom melambung 3,300%

Zoom

NEW YORK 2 Sept. - Aplikasi Zoom memperoleh jumlah pendapatan melebihi 350% pada suku kedua 2020 dengan jumlah keuntungan meningkat kepada 10 kali ganda.

Prestasi memberangsagkan itu didorong oleh peningkatan pendaftaran aplikasinya bagi tujuan persidangan dan mesyuarat melalui video antara kakitangan yang bekerja dari rumah semasa penularan wabak COVID-19.

Penyedia perkhidmatan aplikasi video yang berpangkalan di California itu melaporkan keuntungan bersih yang berjaya dicapai ialah AS$185.7 juta pada suku kedua yang berakhir 31 Julai.

Jumlah yang dicapai itu meningkat hampir 3,300% berbanding tahun sebelumnya.

Eric Yuan
Eric Yuan

 

Dari segi pendapatan, syarikat tersebut berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak 355% kepada AS$663.5 juta pada suku yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan berkata, pihaknya mengakui peningkatan yang dicapai itu adalah susulan perubahan norma kerja jarak jauh yang kian meningkat sepanjang penularan wabak.

"Setiap organisasi dan syarikat melakukan peruhan cara kerja mereka dengan pendekatan baharu untuk terus bekerja, belajar dan berhubung melalui video walau di mana mereka berada.

"Kami juga akan terus melabur dalam pengembangan ekonomi antarabangsa untuk pasaran jenama kami sekali gus menembusi peluang pasaran global," jelasnya seperti dipetik CNN.

Hingga akhir Julai, Zoom mempunyai kira-kira 370,000 pelanggan korporat dengan peningkatan hampir 460% dari tahun lalu.

Pada bulan yang sama, syarikat itu juga mengumumkan perancangannya untuk menambah jumlah tenaga kerja yang sedia ada di Mumbai serta menubuhkan pusat data baharu di Bangalore dan Hyderabad. - DagangNews.com