Keuntungan lemah daripada jangkaan, MIDF turunkan harga sasaran Superlon | DagangNews Skip to main content

Keuntungan lemah daripada jangkaan, MIDF turunkan harga sasaran Superlon

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Harga sasaran (TP) saham Superlon Holdings Berhad disemak turun lebih rendah kepada RM1.08 selepas mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Firma penyelidikan, MIDF Research berkata, keuntungan bersih utama yang dicatatkan Superlon pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) sebanyak RM2.11 juta hanya memenuhi 15% daripada unjurannya.

 

“Kami turunkan sedikit unjuran perolehan FY22 kepada RM13.9 juta untuk mengambil kira operasi yang terjejas pada suku pertama itu. 

 

“Kami juga memperkenalkan unjuran perolehan FY24 pada kadar RM17.7 juta,” ujar MIDF dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Hasil Superlon pada tempoh tersebut merosot 30.1% berbanding 1QFY21 daripada RM27.4 juta kepada RM19.2 juta. 

 

Ini disebabkan oleh penguatkuasaan sekatan pergerakan di seluruh negara yang telah menjejaskan operasi kilang Superlon. 

 

Segmen pembuatan yang merupakan pemacu hasil kumpulan pula merosot 30.5% kepada RM15.3 juta bagi tempoh sama. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan perolehan yang lebih kukuh dipacu oleh rantaian bekalan global yang kembali beroperasi dan kos operasi lebih rendah. 

 

“Risiko penurunan kepada penarafan saham kami termasuk turun dan naik kadar pertukaran mata wang dan kenaikan kos bahan mentah. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Superlon dengan kadar hasil dividen bagi FY22 diramalkan pada 3.5%,” tambah MIDF. - DagangNews.com