Keuntungan TH naik 2.1% kepada RM2.48 bilion berbanding RM2.43 bilion pada 2020 | DagangNews Skip to main content

Keuntungan TH naik 2.1% kepada RM2.48 bilion berbanding RM2.43 bilion pada 2020

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 2.1% kepada RM2.48 bilion berbanding RM2.43 bilion bagi tahun 2020.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, TH juga mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 2.9% kepada RM3.24 bilion bagi tahun 2021 berbanding RM3.15 bilion bagi tahun 2020.

 

Beliau berkata, TH berjaya mencapai prestasi yang membanggakan pada tahun 2021 meskipun berdepan suasana mencabardan ia mencerminkan komitmen berterusan Ahli Lembaga, Ahli-ahli Panel Pelaburan, pihak pengurusan kanan dan seluruh anggota TH dalam memastikan penjanaan pulangan yang baik dan berterusan.

 

"TH akan mengagihkan sebanyak RM2.46 bilion sebagai Agihan Keuntungan TH 2021 kepada 8.4 juta pendepositnya dengan kadar agihan sebanyak 3.1% dan kadar agihan bagi tahun 2021 adalah kompetitif dan lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu sebanyak 2.36 %. 

 

"Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta," katanya semasa mengumumkan pengagihan keuntungan TH, di sini hari ini.

 

Idris berkata, kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021 dan jumlah simpanan deposit yang dijamin kerajaan mencecah RM83.33 bilion, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah.

 

thaj

 

Beliau berkata, kos operasi juga menurun sebanyak 4% berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah. 

 

thaj

 

"Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH," katanya. - DagangNews.com