KUALA LUMPUR 23 Feb – Pakar pembinaan dan kejuruteraan sivil WZ Satu Berhad mencatat peningkatan keuntungan bersih suku atas suku sebanyak 65.3% untuk suku keempat berakhir 31 Disember lalu, membolehkannya mencatat keuntungan bagi tahun kewangan penuh - pertama kali sejak 2018.
Dalam pemakluman di Bursa Malaysia hari ini, WZ Satu merekodkan keuntungan bersih RM3.6 juta dalam suku keempat 2021, dengan perolehan RM57 juta.
Secara dasarnya, pencapaian tersebut disokong oleh sumbangan positif dari tiga segmen teras iaitu kejuruteraan sivil dan pembinaan, minyak dan gas dan juga pembuatan.
Sebagai perbandingan, Kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM2.2 juta dan perolehan sebanyak RM62.7 juta dalam suku ketiga 2021.
Tiada sebarang maklumat perbandingan bagi tahun ke tahun sebagaimana Kumpulan pada 22 Julai 2020 telah menukar tahun kewangan berakhir ke 31 Disember dari 31 Ogos.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 WZ Satu mencatatkan keuntungan bersih RM3.7 juta berbanding perolehan RM247.4 juta.
Ini amat penting kerana Kumpulan berjaya merekodkan keputusan positif awal dari yang dijangkakan pada 2022.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu Berhad, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian kewangan terkini WZ Satu membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi perniagaan.
''Kami memacu pertumbuhan strategi ke hadapan dan secara aktif membida beberapa tender dari sektor awam dan swasta,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga 31 Disember lalu, buku tempahan WZ Satu merekodkan RM578 juta dan ia mencatatkan perolehan nyata sehingga 2023.
‘’Kami bekerja keras dan pantas untuk meningkatkan saiz buku tempahan. Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, salah satu pemacu utama untuk WZ Satu ialah pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia.
‘’Selepas kami melengkapkan pengambilalihan ke atas Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (CESSB), Kumpulan menjangka akan mendapat faedah dari pembinaan menara-menara telekomunikasi 5G di seluruh negara,’’ ujarnya.
Sementara itu, keputusan kerajaan menggesa agar pembinaan rumah mampu milik menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga satu anjakan positif kepada WZ Satu.
Ia adalah satu perhatian yang perlu diambil kira kerana projek kediaman PR1MA D’Marina Residency di Kuantan, memiliki nilai pembangunan kasar bernilai RM219 juta bagi tempoh 4 hingga 5 tahun.
‘’Kami masih menanti yang terbaik untuk tiba dan tahun kewangan semasa dijangka menjadi tahun yang kukuh, jika tiada sebarang kemungkinan berlaku di luar jangkaan.
‘’WZ Satu akan menjadi pemain serius di dalam pengurusan fasiliti, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan sektor teknologi," katanya.
Pada 17 November 2021 WZ Satu telah mencadangkan untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti di dalam CESSB daripada Citaglobal Sdn Bhd pada pertimbangan pembelian indikatif RM140 juta.
Cadangan pengambilalihan itu datang dengan agregat jaminan keuntungan bersih RM60 juta bagi 3 tahun kewangan penuh berakhir 2022, 2023 and 2024.
CESSB ialah syarikat sendirian berhad Bumiputra dan secara prinsipalnya terlibat di dalam perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan.
WZ Satu Bhd telah disenaraikan pada 2 Jan 2008 dan merupakan kumpulan pelbagai perniagaan dengan pelbagai aliran perolehan.
Antara perniagaannya termasuklah kejuruteraan awam dan pembinaan, minyak & gas dan pembuatan. Unit operasi utama Kumpulan ialah WZS BinaRaya Sdn Bhd, Sinergi Dayang Sdn Bhd, WZS Misi Setia Sdn Bhd, dan WZS Industries Sdn Bhd. – DagangNews.com