FAKTA MENARIK :
- Bahasa Melayu adalah lingua franca dari abad ke-7 sehingga abad ke-19.
- Tulisan Pallava (Sanskrit) dan Nagari adalah tulisan India yang digunakan dalam penulisan bahasa Melayu kuno.
- Tulisan Jawi tertua ditemui pada batu bersurat Terengganu bertarikh 1303M dan berbahasa Melayu klasik.
- Manuskrip Melayu tertua dalam bentuk warkah kiriman Sultan Abu Hayat di Ternate, Maluku kepada Raja Portugis, King John III bertarikh 1521M.
- Manuskrip buku tertua adalah Aqa’id Al-Nasafi bertarikh 1590M.
- Terdapat lebih 20,000 ribu manuskrip Melayu dan ada yang bertebaran dalam simpanan di luar negara seperti di British Library, London dan perpustakaan di Leiden Universiti, Belanda.
- Hampir 5,000 manuskrip bertulisan Jawi belum dikaji
AWAL abad ke-7, bahasa Melayu sudah digunakan oleh Empayar Srivijaya sebagai bahasa perantara (lingua franca) di rantau Asia Tenggara dan berterusan sehingga abad ke-19.
Penemuan batu bersurat (prasasti) tertua di Kedukan Bukit, Palembang yang bertarikh 683 Masihi adalah bukti bahasa Melayu kuno dalam tulisan Pallava (tulisan India) dan peranannya di dalam pemerintahan Srivijaya. Ini diikuti penemuan batu bersurat di Talang Tuwo, Palembang (684 Masihi); di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 Masihi) dan di Karang Brahi, Meringin (686 Masihi).
Bahasa Melayu klasik bermula dari abad ke-14 sehingga ke akhir abad ke-18. Penemuan batu bersurat Terengganu dijadikan sandaran permulaan bahasa Melayu klasik dan juga tulisan Jawi tertua yang ditemui. Penggunaan bahasa Melayu berkembang sehingga ke negara Barat dan seluruh Asia. Kepentingan bahasa Melayu juga dizahirkan dengan kewujudan buku-buku daftar kata seperti Cina-Melayu, Itali-Melayu, Melayu-Belanda dan Melayu-Inggeris.
Penggunaan bahasa Melayu mula merosot pada awal abad ke-20 akibat kedatangan penjajah Barat yang mendesak masyarakat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan dalam pendidikan. Begitu juga ketika Empayar Jepun menjajah dan kawasan taklukannya dipaksa mempelajari bahasa, nilai dan budaya mereka.
Pasca kemerdekaan negara, karya-karya Kesultanan Melayu Melaka telah diterjemahkan dalam bahasa Rusia seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sang Boma, Hikayat Seri Rama dan banyak lagi. Universiti-universiti di seluruh pelusok dunia juga mengiktiraf pengajian bahasa Melayu seperti Universiti Pengajian Asing Beijing, China; Leiden University, Belanda; Ohio Universiti di Amerika Syarikat; Victoria University of Weliington, New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan.
Menariknya sarjana antarabangsa memandang tinggi bahasa Melayu dan menunjukkan keghairahan mereka ketika bercakap berkenaan bahasa Melayu. Sarjana Belanda, Francois Valentijin berkata “Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina.”
Di sini penulis bentangkan faktor-faktor bahasa Melayu berupaya untuk menjadi lingua franca di persada antarabangsa sebelum abad ke-20.
Bahasa perdagangan
Bahasa Melayu berupaya menjadi lingua franca kerana pemerintah pada masa itu memanfaatkan pengaruh mereka sebagai pusat maritim utama di rantau ini. Keluasan jajahan Srivijaya sehingga ke Selat Melaka dan Selat Sunda telah mengembangkan penggunaan bahasa Melayu antara raja-raja dan rakyat jelata. Oleh itu, pedagang asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk berurusan.
Dari abad ke-7 sehingga abad ke-19, bahasa Melayu kekal berfungsi sebagai bahasa perdagangan. Kedudukan strategik dan kemahiran berdagang adalah gabungan yang merancakkan lagi pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu. Kekayaan hasil bumi seperti emas, timah, kayu gaharu dan cengkih juga menarik perhatian pedagang asing. Oleh itu, pedagang asing perlu berkomunikasi dengan pedagang tempatan dalam bahasa Melayu dan terdapat juga pedagang asing yang berbahasa Melayu sesama mereka.
Bahasa pemerintahan
Kebangkitan Empayar Srivijaya pada abad ke-7 telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka selaraskan penggunaan bahasa Melayu dalam pemerintahan dan jajahannya yang luas di Alam Melayu menyebabkan bahasa Melayu menjadi lingua franca di rantau Asia Tenggara. Sehingga ke abad ke-19, bahasa Melayu digunakan di dalam pentadbiran, perundangan dan bahasa rasmi kerajaan-kerajaan Melayu.
Pada zaman Dinasti Ming, jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) ditubuhkan untuk kepentingan dan keperluan hubungan luar negara. Untuk bahasa Melayu, dua orang jurubahasa ditugaskan setiap seorang untuk Melaka dan untuk Sumatera. Balai Bahasa Negeri-negeri Asing (Si Yi Guan) yang memnpunyai lapan jabatan ditubuhkan pada 1405 untuk melatih jurubahasa dan pengajian bahasa Melayu diletak dibawah Jabatan Islam (Hui Hui Guan) sekali dengan Parsi, Arab dan Jawa. Kamus dwibahasa Cina-Melayu (1403-1511) memuatkan perkataan-perkataan Melayu dalam aksara Cina. Boleh diandaikan bahawa tulisan Jawi disalin ke tulisan Cina dan sebaliknya dalam penterjemahan surat-surat mereka.
Bahasa ilmu
Dasar keterbukaan kerajaan Melayu yang menerima pedagang asing memudahkan Islamisasi kerajaan ini. Pedagang dari Timur Tengah mempelajari bahasa Melayu bagi memudahkan kerja dakwah mereka. Persamaan bahasa melancarkan pendakwahan kepada golongan masyarakat tempatan dan juga pedagang asing.
Ini telah menyebabkan huruf Arab diadaptasi dan diubah suai untuk penulisan bahasa Melayu iaitu tulisan Jawi. Kosa kata bahasa Melayu juga berkembang dengan penyerapan perkataan-perkataan Arab. Penerimaan agama Islam dan sistem tulisan Jawi memudahkan lagi penyebaran ilmu pengetahuan di mana kitab-kitab agama diterjemah ke bahasa Melayu. - DagangNews.com
BACA JUGA :
Tidak fasih English, berucaplah dengan bangga dalam Bahasa Malaysia
Winstedt, Manuskrip Melayu dan Pendidikan Orang Melayu
Acara kerajaan pinggirkan Bahasa Melayu, kata ABIM
Sumber:
Hanis Izrin Mohd Hassan, Siti Mahani Angterian dan Mohd Sharifudin Yusop. (2017). Kegemilangan Bahasa Melayu Sebagai Lingua Franca. Jurnal Kesidang. Journal of Kesidang. Volume 2: 18-30. Dari http://www.kuim.edu.my/journal/index.php/JK/article/download/317/273
Ku Hasnita Ku Samsu, Adlina Ab Halim dan Mohd Hadiz Sulaiman. (2013). Keupayaan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 1(1), 2013:55-65. Dari http://journalarticle.ukm.my/6393/1/IMAN1_4.pdf