Kewangan Sunway dijangka hanya kembali kukuh pada FY22 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kewangan Sunway dijangka hanya kembali kukuh pada FY22 - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Walaupun penguatkuasaan ‘lockdown’ semakin dilonggarkan pada bulan ini, namun pemulihan kukuh dalam perolehan Sunway Berhad dijangka hanya berlaku secara beransur-ansur pada tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Ini apabila segmen perniagaan hospitaliti kumpulan yang terjejas dengan teruk akibat pandemik COVID-19 dibenarkan beroperasi semula, menurut penganalisis di Kenanga Research, Lum Joe Shen. 

 

“Kami melihat pemulihan itu hanya berlaku secara beransur-ansur pada FY22 apabila sempadan antarabangsa atau antara negeri dibuka semula dan lebih ramai orang mula selesa untuk ‘tinggal bersama’ dengan COVID-19,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Menurut Kenanga, keuntungan bersih utama kumpulan pada suku kedua FY21 (2QFY21) menyusut 11% berbanding suku tahun sebelumnya ekoran pembayaran dividen ICPS bernilai RM25.7 juta. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘market perform’ ke atas saham Sunway dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.90 daripada RM1.95.

 

Sementara, CGS-CIMB Research pula terus menyarankan untuk ‘pegang’ saham Sunway dengan TP dikekalkan pada kadar RM1.91 sesaham.

 

Seiring penarafan itu, penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, unjuran perolehan sesaham Sunway pada FY21 hingga FY23 diturunkan sebanyak 11% hingga 34%.

 

Semak turun unjuran itu mengambil kira pembilan yang lebih lemah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) serta sumbangan syarikat bersekutu yang lebih rendah.

 

“Prospek pemulihan penuh pada separuh kedua FY21 (2HFY21) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih lagi tidak menentu memandangkan kes COVID-19 terus meningkat dan kadar penghunian industri berkurangan,” kata Sharizan lanjut.

 

Senada itu, MIDF Research turut menurunkan unjuran perolehan kumpulan bagi FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak 3.9% dan 1.5% yang mengambil kira sumbangan lebih rendah daripada segmen pembangunan dan pelaburan hartanah Sunway. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Sunway kerana kami menjangkakan prospek bagi segmen penjagaan kesihatannya positif, yang diimbangi oleh prospek suram bagi pembangunan dan pelaburan hartanah,” kata penganalisis di MIDF, Jessica Low Jze Tieng. - DagangNews.com