Keyakinan peniaga meningkat 3.2%, perniagaan dijangka terus berkembang pada suku keempat 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Keyakinan peniaga meningkat 3.2%, perniagaan dijangka terus berkembang pada suku keempat 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Golongan peniaga menjangkakan suasana perniagaan yang lebih baik pada suku tahun keempat 2023, dengan petunjuk keyakinan positif sebanyak 3.2%, meningkat daripada 0.7% pada suku ketiga 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perkhidmatan, industri dan pembinaan adalah tiga sektor yang menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik pada suku keempat 2023. 

 

Katanya, keyakinan perniagaan bagi sektor perkhidmatan kekal pada trajektori positif, dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada 6.3% berbanding 6.1% pada suku tahun sebelumnya. 

 

"Sementara itu, sektor Industri terus optimis terhadap prestasi perniagaan, dengan petunjuk keyakinan 4% bagi suku tahun yang sama berbanding 1.3% pada suku tahun ketiga 2023. 

 

"Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor pembinaan meningkat kepada trajektori positif buat pertama kalinya semenjak suku tahun pertama 2018 dengan catatan 1.7% berbanding -26.9%pada suku ketiga 2023. 

 

"Bagaimanapun, peniaga dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang pesimistik, dengan petunjuk keyakinan sebanyak -3.6% pada suku keempat 2023 berbanding -1.5% pada suku sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Unjuran perniagaan bagi tempoh Oktober 2023 hingga Mac 2024 dijangka kekal rancak walaupun menyederhana, dengan imbangan bersih 9.8% berbanding 13.9% yang dicatatkan sebelum ini, disokong kesemua sektor yang positif kecuali perdagangan borong dan runcit.

 

 

dosm

 

 

Sentimen dalam sektor perkhidmatan kekal positif, dengan imbangan bersih 19%. Bagi enam bulan mendatang, kesemua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan persekitaran perniagaan yang positif. 

 

Sektor industri juga meramalkan prospek perniagaan yang lebih cerah, dengan imbangan bersih 7.5% bagi tempoh Oktober 2023 hingga Mac 2024. 

 

Selepas melonjak ke trajektori positif untuk separuh kedua tahun 2023, sektor pembinaan terus meningkat dengan ketara, dengan imbangan bersih 27.6% untuk enam bulan akan datang. 

 

Sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang mencabaruntuk enam bulan berikutnya dengan imbangan bersih sebanyak -4.6%.

 

Senario itu disebabkan sentimen yang pesimis daripada subsektor perdagangan borong. Namun begitu, subsektor perdagangan runcit melonjak semula ke trajektori positif dengan mencatat 3 %bagi jangkaan 6 bulan ke hadapan berbanding  -12.4 peratus yang direkodkan sebelum ini. - DagangNews.com