Khazanah terbit sukuk AS$1 bilion | DagangNews Skip to main content

Khazanah terbit sukuk AS$1 bilion

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Khazanah Nasional Berhad berjaya menetapkan harga bagi penawaran sukuk terkini berjumlah sehingga AS$1 bilion. 

 

Ia melibatkan 2 bahagian iaitu sukuk bernilai nominal AS$400 juta untuk jangka 5 tahun yang matang pada  2026 serta sukuk bernilai nominal AS$600 juta untuk jangka 10 tahun yang matang pada 2031.

 

Hasil daripada penerbitan ini akan digunakan untuk pelaburan umum, pembiayaan semula pinjaman serta keperluan modal kerja Khazanah yang patuh syariah.

 

Dalam kenyataan, Khazanah berkata, sukuk tersebut akan diterbitkan melalui sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan, Dua Capital Ltd. 

 

Khazanah pertama kali menerbitkan sukuk dalam dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2016, yang mana ia menerbitkan sukuk yang distruktur di bawah prinsip Wakalah.

 

Sukuk terbaharu ini pula dilancarkan pada petunjuk harga awal 125 mata asas (bps) sepanjang tempoh 5 tahun
hasil Perbendaharaan AS serta 150bps sepanjang tempoh 10 tahun hasil Perbendaharaan AS. 

 

"Urus niaga tersebut telah menyaksikan permintaan tinggi di Asia, Eropah dan Asia Barat, dengan harga langganan tertinggi yang dicatatkan kira-kira AS$6 bilion ketika Khazanah menyemak semula panduan harga secara lebih ketat sebanyak 40bps dan 30bps.

 

"Ini sekali gus berjaya menetapkan harga akhir sukuk tersebut pada kadar keuntungan masing-masing sebanyak 1.658% dan 2.780%," katanya hari ini.

 

Kedua-dua sukuk tersebut yang distruktur bawah prinsip Wakalah disandarkan kepada saham dan komoditi patuh syariah, bakal disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (di bawah Rejim Pengecualian) dan Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX- ST).

 

Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Faridah Bakar Ali berkata, permintaan luar biasa yang dicatatkan
mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan Khazanah dan kemampuan dana itu untuk memenuhi mandat sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia. 

 

"Penerbitan sukuk ini akan memanjangkan tempoh liabiliti kami, sementara kami meneruskan usaha pengimbangan portfolio yang kini sedang berlangsung," jelasnya. 

 

CIMB, DBS Bank Ltd., J.P. Morgan, MUFG dan OCBC Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama dan Pengatur Bersama Penempatan, sementara KFH Capital dan Warba Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama. - DagangNews.com