Khidmat penswastaan helikopter opsyen kerajaan untuk lengkapkan keperluan agensi, pasukan keselamatan | DagangNews Skip to main content

Khidmat penswastaan helikopter opsyen kerajaan untuk lengkapkan keperluan agensi, pasukan keselamatan

Helikopter AW139 yang disewa Mindef untuk kegunaan TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Mac - Dua nahas membabitkan helikopter agensi penyelamat dan keselamatan negara berlaku dalam tempoh lapan bulan lalu membabitkan pesawat berbeza.

 

Dalam insiden pada Julai 2023, helikopter model Agusta AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhempas semasa menjalani ujian enjin dan sistem pesawat.

 

Tiga pegawai bomba dan empat jurutera selenggara cedera dalam kejadian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor.

 

Pada 5 Mac lalu pula, sebuah helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pendaratan kecemasan sebelum terhempas di perairan berdekatan Pulau Angsa, Klang, Selangor.

 

Helikopter
Nahas membabitkan helikopter AW139 APMM di perairan Selangor.

 

Helikopter
Keadaan helikopter AW189 JBPM yang terlibat kemalangan.

 

Nahas yang berlaku ini menyebabkan jumlah helikopter yang dimiliki kedua-dua agensi berkurangan.

 

APMM cuma memiliki dua daripada tiga helikopter AW139 yang dibeli, namun masih mempunyai pesawat jenis lain.

 

Agensi ini pada masa sama akan menerima 4 buah helikopter baharu AW189 dalam tempoh tiga tahun lagi untuk ditempatkan di Sarawak.

 

JBPM pula kehilangan sebuah daripada dua helikopter AW189 yang dibeli pada tahun 2018 pada harga RM210 juta.

 

Keseluruhannya JBPM memiliki sembilan buah helikopter sebelum nahas termasuk termasuk Mi-17, AW189, helikopter sederhana AW139 dan helikopter kecil AW109.

 

Helikopter
Helikopter AW189 jenis sama yang akan diterima APMM.

 

Kerajaan sebelum ini juga telah bersetuju untuk mendapatkan dua buah helikopter baharu jenis AW139 untuk menambahkan aset udara JBPM, cuma tempoh diterima belum ditetapkan.

 

Selain dua agensi ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memerlukan helikopter bagi menambah bilangan sedia ada khususnya untuk beroperasi di Sabah dan Sarawak.

 

Sehubungan itu, ada cadangan daripada pihak industri supaya kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan penswastaan helikopter bagi melengkapkan agensi dan pasukan yang memerlukan.

 

Ini merupakan opsyen yang baik kerana ia tidak melibatkan peruntukan besar berbanding membeli pesawat baharu manakala tempoh untuk mendapatkan aset lebih cepat.

 

Perolehan secara sewaan menggunakan konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) adalah lebih efektif buat masa ini.

 

Helikopter
PDRM masih mengoperasikan helikopter berusia jenis Squirrel yang sewajarnya diganti.

 

Helikopter
Helikopter AW139 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM.

 

Melalui konsep ini, kerajaan sebagai penyewa manakala segala kos senggaraan dilakukan oleh syarikat sepanjang tempoh kontrak.

 

Konsep penswastaan atau sewaan helikopter ini menggunakan kaedah sama sepertimana perkhidmatan Spanco.

 

Syarikat Spanco memegang konsesi untuk pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.

 

Spanco menjadi penyedia khidmat pengurusan kenderaan bersepadu terbesar di negara ini.

 

Bermakna, sebuah syarikat akan diberikan tanggungjawab untuk menyelaraskan kontrak helikopter pada jumlah yang besar mengikut keperluan agensi atau pasukan keselamatan.

 

Helikopter

 

Konsep menyewa helikopter untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia juga bukan baharu, malah telah digunakan pada tahun 2001 oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Menerusi konsep Performance Based Contract (PBC), TLDM telah menyewa helikopter Squirrel selama 3 tahun mulai 2001 sebelum menerima helikopter AS 555 SN Fennec.

 

Dua tahun lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mendapatkan 4 buah helikopter jenis Leonardo AW 139 secara sewaan bagi mengimbangi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Pesawat dipilih berdasarkan kehendak TUDM yang memerlukan helikopter saiz berkenaan bagi pelbagai kegunaan bukan kombatan.

 

Langkah sewaan helikopter bagaimana pun berfungsi sebagai penyelesaian sementara,sebelum aset baharu dibeli atau diputuskan nanti.

 

Helikopter

 

Helikopter AW139 yang dikendalikan oleh No 3 Skuadron ini nampaknya telah beraksi cemerlang sepanjang tempoh tersebut.

 

Peranannya adalah seperti melaksanakan tugasan sokongan logistik, khidmat pemindahan perubatan udara, operasi mencari serta misi bencana dan bantuan kemanusiaan.

 

Mindef sebelum ini pernah menyewa helikopter latihan Airbus EC120B bersama simulator latihan bagi kegunaan melatih bakal juruterbang helikopter TUDM.

 

Terbaru, 4 buah helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk akan diterima melalui perolehan sewaan bagi keperluan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

 

Helikopter
Mindef menyewa 4 helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk jenis seperti ini untuk Tentera Darat.

 

Mindef pada Mei tahun lalu menandatangani kontrak sewaan helikopter tersebut dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. bernilai RM187 juta.

 

Empat buah helikopter ini akan disewa untuk tempoh lima tahun sebelum PUTD memutuskan perolehanan helikopter yang diinginkan.

 

Kesemua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk telah menjalani penyelenggaraan semula termasuk pemasangan komponen bagi memastikan pesawat dioperasikan dengan baik. - DagangNews.com