KidZania Singapura yang disokong Khazanah berhutang S$53.4 juta | DagangNews Skip to main content

KidZania Singapura yang disokong Khazanah berhutang S$53.4 juta

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - KidZania Singapura yang disokong oleh Khazanah Nasional Berhad berhutang sebanyak S$53.4 juta dengan lebih 1,000 pemiutang termasuk agensi kerajaan dan perniagaan di negara tersebut.  

Menurut laporan Singapore Business Times (BT) hari ini, sebahagian besar daripada hutang tersebut berjumlah
S$50 juta dituntut oleh Themed Attractions Resorts & Hotels (TARH), cabang rekreasi dan pelancongan Khazanah yang memiliki 80% pegangan dalam Rakan Riang, iaitu syarikat usaha sama di sebalik KidZania Singapura. 

Jelasnya lagi, Boustead Curve, anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd. pula memiliki 20% lagi pegangan dalam Rakan Riang.

"Hutang selebihnya pula adalah hak milik pelanggan, agensi kerajaan dan perniagaan di Singapura termasuk Singapore Tourism Board (STB), Sentosa Development Corp. (SDC) dan Kementerian Pendidikan (MOE)," menurut senarai pemiutang yang dilihat BT. 

Malah, SDC yang turut mempunyai hutang sewa premis KidZania di Pulau Sentosa berjumlah S$207,400 mengatakan pihaknya ada 'berhubung dengan pelikuidasi'.

Sementara itu, STB yang juga berhutang S$27,400 tidak boleh memberikan butiran terperinci disebabkan 'rahsia perniagaan' manakala Kelab Rekreasi dan Sukan MOE difahamkan mempunyai hutang S$62,300 bagi pembelian pas korporat dari KidZania. 

Tahun lalu, menurut BT, KidZania menjana pendapatan sebanyak S$14.4 juta tetapi mengalami kerugian selepas cukai berjumlah S$28 juta. 

Jumlah nilai asetnya juga semakin berkurangan, daripada S$48.9 juta pada 2016 kepada S$5.9 juta setakat 24 Ogos lalu, menurut penyata yang dibentangkan pada mesyuarat bersama pemiutang. 

Dilaporkan, apa yang mengecewakan pemiutang adalah kurang penjelasan bagi mereka untuk mendapatkan semula wang memandangkan ia dijangka mengambil masa setahun setengah hingga dua tahun.

Bagaimanapun, menurut BT, Khazanah enggan memberi sebarang penjelasan berhubung perkara ini. - DagangNews.com