Kilang baharu oleokimia di Pulau Pinang dijangka tingkatkan kapasiti pengeluaran IOI Corporation | DagangNews Skip to main content

Kilang baharu oleokimia di Pulau Pinang dijangka tingkatkan kapasiti pengeluaran IOI Corporation

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan pembinaan kilang oleokimia IOI Corporation di Pulau Pinang dijangka siap sepenuhnya pada 3QFY22.

 

Firma itu berkata, kilang baharu oleokimia itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan itu sebanyak 110,000 tan kepada 890,000 tan setahun.

 

"Kami mengunjurkan pendapatan segmen pembuatan meningkat sebanyak 10% kepada RM13.1 bilion pada FY23F didorong oleh pentaulihan kilang oleokimia itu.

 

"Bagaimanapun kami tidak menjangkakan kilang itu akan memberikan keuntungan untuk operasi tahun pertama kerana ia memerlukan masa untuk memaksimumkan kadar penggunaannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja sebanyak 20% dan kekurangan itu melibatkan kawasan di Semenanjung Malaysia.

 

Bagi mengatasi masalah itu, IOI telah meningkatkan proses automasi di ladang-ladangnya di Semenanjung Malaysia.

 

"Dari sudut positif, IO telah menerima kelulusan untuk membawa masuk 800 pekerja dari Indonesia dan Bepal. Mereka dijangka tiba di Malaysia pada Julai ini," katanya.

 

Firma itu berkata, kos penghasilan kumpulan akan meningkat kepada RM1,600 satu tan pada FY22E berbanding RM1,500 satu tan pada FY21E kaibat peningkatan kos baja dan gaji pekerja.

 

"Kos baja meningkat sebanyak dua kali ganda tahun ini manakala kadar gai minimum dijangka menaikkan kos pengeluaran sebanyak 2% hingga 3%.

 

"IOI bagaimanapun tidak mengurangkan permohonan baja mereka meskipun berlaku peningkatan ketara," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk IOI Corporation dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM4.05 sesaham. - DagangNews.com