KUALA LUMPUR 5 Julai - AmInvestment Bank Research menjangkakan kilang penapisan oleokimia baharu di Kalimantan Timur, Indonesia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kuala Lumpur Kepong Berhad untuk jangka panjang.
Firma itu juga menjangkakan, kilang penapisan sawit itu tidak akan memberikan sebarang keuntungan pada tahun pertama operasi kerana ia memerlukan masa untuk meningkatkan kadar penggunaan.
Katanya, jeti dan kilang penapisan KLK di Kalimantan Timur itu dijangka siap menjelang penghujung 2022E.
"Kompleks bersepadu itu dianggarkan menelan belanja RM700 juta secara keseluruhan.
"Kilang penapisan sawit itu dijangka meningkatkan kapasiti penapisan KLK sebanyak 660,000 tan kepada 2 juta tan setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, KLK juga berharap untuk menerima kehadiran sekitar 3,000 pekerja asing dari Indonesia, India dan Nepal menjelang penghujung September 2022 dengan kumpulan pekerja pertama akan tiba pada hujung bulan ini.
Katanya, ketika ini, KLK berdepan kekurangan tenaga pekerja sebanyak 20% atau 3,000 orang.
"Sehingga kini keadaan cuaca baik di ladang kelapa sawit KLK di Malaysia, walaupun berdepan hujan lebat di Indonesia dan percaya KLK tidak akan berdepan masalah dengan tanaman mereka.
"Kami menganggarkan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) KLK ialah RM2,100/tan pada FY22E (FY21: RM1,509/tan).
"Kenaikan kos pengeluaran setiap tan pada FY22E adalah disebabkan kos upah dan baja yang lebih tinggi," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga wajar (FV) lebih rendah RM21.55 berbanding RM23.70 sebelum ini. - DagangNews.com