Kilang Supermax di AS beroperasi Jun 2021 | DagangNews Skip to main content

Kilang Supermax di AS beroperasi Jun 2021

Supermax

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Kilang pengeluaran sarung tangan, Supermax Corporation Berhad (Supermax) disasar memulakan operasi pada Jun 2021.

 

MIDF Research berkata, Supermax telah memperuntukkan AS$550 juta (RM2.2 bilion) sebagai kos pembinaan kilang berkenaan yang mampu mengeluarkan hingga 15 bilion keping sarung tangan setiap tahun.

 

"Supermax kini dalam fasa perbincangan dengan daerah dan negeri bagi sokongan infrastruktur  di sana dan sasaran untuk memulakan kerja adalah pada separuh tahun pertama.

 

"Ia mensasarkan pengeluaran di Plant 18 dalam beberapa peringkat bermula separuh pertama tahun semasa 2022.

 

"Kami berpendapat bahawa syarikat (Supermax) berada dalam kedudukan yang baik untuk berkembang ke luar negara memandangkan tunai bersih yang kukuh sebanyak RM3.4 bilion pada suku tahun semasa berbanding RM2.0 bilion pada suku sebelumnya," jelas MIDF Research.

 

Baca: Supermax rancang bina kilang pengeluaran sarung tangan di UK dan AS

 

Dalam pada itu, Supermax juga sedang mengenal pasti tapak yang sesuai untuk Plant 19 yang dirancang untuk dibina di United Kingdom (UK).

 

Bagaimanapun, kilang di UK berkemungkinan akan mengambil masa lebih untuk memulakan operasi susulan sekatan pergerakan.

 

Bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2021, untung bersih Supermax melonjak 34.2% kepada RM1.06 bilion berbanding suku sebelumnya.

 

Pendapatan turut meningkat 47.8% kepada RM2.0 bilion susulan jumlah kapasiti yang tinggi sebanyak 2.2 bilion di samping purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi.

 

Prestasi itu turut disumbangkan oleh penjualan OBM (own brand manufacturing) yang lebih tinggi dalam kedua-dua segmen pembuatan dan pengedaran.

 

"Kami menyemak naik ramalan pendapatan Supermax bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 33.6% kerana kami mengambil kira margin dan ASP yang lebih tinggi memandangkan hasil yang lebih baik daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham Supermax dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM13.83," jelas MIDF Research. - DagangNews.com