Kimlun raih kontrak pembinaan projek perumahan di Johor Bahru bernilai RM128.13 juta | DagangNews Skip to main content

Kimlun raih kontrak pembinaan projek perumahan di Johor Bahru bernilai RM128.13 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - Kimlun Corporation Berhad menerima kontrak pembinaan berjumlah RM128.13 juta bagi membangunkan projek perumahan di Johor Bahru.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Kimlun berkata, kontrak yang dibahagikan kepada dua seksyen itu diterima anak syarikat milik penuhnya, Kimlun Sdn Bhd (KSB) daripada Tanah Sutera Development Sdn Bhd.

 

"Bagi seksyen pertama, kontrak tersebut bernilai RM57.86 juta yang dijangka disiapkan pada suku ketiga 2026.

 

"Seksyen kedua pula bernilai RM70.27 juta dan tarkh siap adalah 21 bulan dari permulaan kerja pembinaan," katanya hari ini.

 

Menurut Kimlun, tawaran KSB untuk kerja dalam seksyen ini adalah sah untuk pertimbangan dan penerimaan majikan dalam tempoh 6 bulan mulai 3 Oktober 2024.

 

Kata Kumpulan tersebut, kontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Kimlun untuk tahun kewangan sepanjang tempoh kontrak.

 

"Tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut," ujarnya. - DagangNews.com