Kin Loong Valley jadi tarikan baharu di Tasik Cermin | DagangNews Skip to main content

Kin Loong Valley jadi tarikan baharu di Tasik Cermin

Kin Loong Valley yang terletak di kawasan batu kapur kuari bakal menjadi tarikan baharu di Tasik Cermin.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 8 Dis - Kawasan geotapak Tasik Cermin di Gunung Rapat di sini mempunyai satu lagi tarikan baharu apabila sebuah kafe dan taman akan dibangunkan di kawasan ekopelancongan tersebut.

 

Kin Loong Valley ini terletak di kawasan batu kapur kuari yang sinonim sebagai mineral penting bagi negeri Perak. 

 

Keunikan kawasan batu kapur ini akan menjadikan kafe tersebut sebagai tumpuan para pelancong dari dalam and luar negeri.

 

Pengarah Urusan Chang Jiang White Coffee, Kong King Loong berkata, keunikan dan persekitaran kawasan bekas kuari itu merupakan tarikan yang bernilai tinggi.

 

kopi
Bangunan kedai kopi yang dibina mengikut reka bentuk kedai zaman lalu.

 

Menurut beliau, pihaknya akan mempromosikan Tasek Cermin khususnya Kin Loong Valley ke seluruh negara dan dunia sebagai tarikan pelancongan terutama pada penggemar kopi.

 

"Para pengunjung juga dapat menjamu selera sambil menikmati keindahan pemandangan di sekitar kawasan ini.

 

"Tempat ini diharap akan menjadi lokasi wajib dikunjungi oleh para pelancong apabila melancong ke negeri Perak khususnya Ipoh," ujarnya.

 

kopi
Chang Jiang White Coffee mengeluarkan produk 'White Coffee' sejak 40 tahun lalu di Ipoh.

 

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah meluluskan cadangan pembangunan sebahagian tanah seluas kira-kira 1.9 ekar di kawasan ekopelancongan di sini bagi pembinaan tersebut.

 

Pembangunan yang telah dilaksanakan terdiri daripada bangunan dapur utama, bangunan restoran (ruang makan) serta fasiliti seperti tandas dan surau. 

 

Pembinaan taman pula akan dijalankan pada masa akan datang.

 

kopi
King Loong (kanan) bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (dua dari kanan) pada majlis perasmian pembukaan Kin Long Valley, baru-baru ini.

 

Chang Jiang White Coffee merupakan syarikat pertama yang mengeluarkan produk 'White Coffee' pada tahun 70-an di sebuah kedai kopi di Jalan Pasir Puteh di sini. 

 

Syarikat ini juga memiliki beberapa kafe dengan konsep berbeza iaitu Rumah Style Cafe di Jalan Windsor, Kopitiam Style Café di Bangunan Casuarina dan Guangdong Garden Style Café  di People’s Park. - DagangNews.com