Kisah Rohana, Hoi Lan dapat perhatian PM | DagangNews Skip to main content

Kisah Rohana, Hoi Lan dapat perhatian PM

Foto: Harian Metro
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

 

KUALA LUMPUR 16 Jan - Kisah seorang gadis berbangsa Melayu yang dijaga seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan oleh wanita warga emas berbangsa Cina mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Rohana Abdullah yang berusia 22 tahun, mengakui terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada Perdana Menteri.

 

"Macam tak percaya orang yang bercakap dengan saya itu adalah pemimpin negara yang bertanyakan mengenai kisah yang tersiar di Harian Metro," kata Rohana.

 

Gadis itu berkata, dia menerima panggilan mengatakan Perdana Menteri ingin bercakap sendiri dengannya.

 

Katanya, Perdana Menteri bertanyakan mengenai kisah hidupnya dan dia berkongsi kisahnya seperti yang disiarkan melalui akhbar.

 

 

pm
                                             Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

"Dalam perbualan selama kira-kira enam minit itu, beliau turut bertanyakan keadaan ibu angkat saya (Chee Hoi Lan).

 

"Saya memang tak sangka kisah ini mendapat perhatian PM. Saya tidak dimaklumkan pun PM nak call. Memang tak percaya.

 

"PM juga kata dia akan cuba bantu dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengambil keterangan Laoshi (panggilan untuk Hoi Lan) dalam masa terdekat juga," katanya.

 

Kisah Rohana dan Hoi Lan yang disiarkan akhbar tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak kerana walaupun berbeza agama, wanita warga emas itu sanggup menjaganya seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan lagi.

 

Malah, dia sanggup mengeluarkan wang belanja untuk menghantar Rohana ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa), selain makan makanan halal sepanjang tinggal bersamanya.

 

Memetik laporan Harian Metro, warga emas itu berharap Rohana mendapat taraf kewarganegaraan dan mempunyai kad pengenalan bagi memudahkan masa depannya kelak.

 

Ia membangkitkan rasa kagum banyak pihak yang mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan masalah yang timbul dapat diselesaikan. - DagangNews.com