KKM dapat peruntukan khas COVID-19 sebanyak RM3.7 bilion - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

KKM dapat peruntukan khas COVID-19 sebanyak RM3.7 bilion - Tengku Zafrul

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19, tidak termasuk perolehan vaksin, jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam laporan Laksana ke-64 hari ini. 

 

Antaranya, termasuklah RM1.6 bilion di bawah pakej Prihatin diikuti RM1.4 bilion di bawah Belanjawan 2021 manakala lebih RM500 juta peruntukan tambahan di bawah pakej Pemerkasa Plus. 

 

Malah, katanya, kerajaan juga menyalurkan peruntukan khas kepada semua negeri bagi menangani wabak COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM260 juta.

 

"Peruntukan ini bagi pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad ICU, dan juga menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan," jelas beliau.

 

Antara bantuan yang turut diberikan di bawah pakej bantuan termasuklah sebanyak RM150 juta menerusi Permai untuk menambah lebih 3,500 petugas kesihatan untuk KKM.

 

Selain itu, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada, selain pelantikan semula secara kontrak lebih 500 petugas kesihatan yang telah bersara wajib. 

 

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyelaraskan pemberian elaun khas petugas kesihatan di PPV kepada RM600, dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta.

 

"Di samping itu, ia juga termasuk kerjasama dengan institusi kesihatan swasta untuk menerima pesakit COVID-19 yang dipindahkan dari hospital awam, serta turut membenarkan klinik dan hospital swasta berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin.

 

"Pengagihan bekalan vaksin secara percuma, di mana setakat ini kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi langkah penyumber luaran program imunisasi dengan kerjasama pihak perubatan swasta," katanya. 

 

Menurut beliau, di bawah aspek pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan itu juga, kerajaan memberi keutamaan kepada pengukuhan vaksinasi sebagai kunci utama kejayaan melawan COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

 

Secara purata, katanya, pemberian lebih 400,000 dos telah berjaya dicapai setiap hari dan pernah mencecah lebih 550,000 dos sehari. 

 

"Peningkatan kadar vaksinasi ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang akan memungkinkan tercapainya imunisasi 100% populasi dewasa menjelang akhir Oktober nanti sebagai sasaran terpenting dalam memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," tambahnya.

 

Dari segi perbelanjaan pula, jelas Tengku Zafrul, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.9 bilion bagi perolehan bekalan vaksin sebanyak 79.9 juta dos yang telah ditandatangani kontraknya. 

 

Jumlah dos ini ditampung lagi melalui sumbangan sebanyak 2.9 juta dos vaksin daripada Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom, katanya. - DagangNews.com