KUALA LUMPUR 30 April - Pasaran tempatan petang ini susut 6.85 mata untuk ditutup kepada 1,601.65 mata, setelah Bursa Malaysia ditutup semalam sempena cuti umum Nuzul Al-Quran.
Jumlah dagangan sebanyak 6.62 bilion bernilai RM4.54 bilion, lebih tinggi berbanding Rabu sebanyak 6.59 bilion saham diniagakan bernilai RM3.86 bilion.
Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 582 berbanding 508 manakala 453 kaunter tidak berubah.
Menurut Reuters, kebanyakan pasaran ekuiti di negara ekonomi baharu muncul Asia susut dalam dagangan hari ini, menghakis pengukuhan Wall Street.
Ini berikutan petunjuk pengilangan China yang lebih lemah berbanding jangkaan serta kebimbangan mengenai langkah China mengenakan sekatan ke atas syarikat internet mempengaruhi sentimen.
Data Statistik Biro Kebangsaan (NBS) di China menunjukkan indek pengurus pembelian (PMI) jatuh kepada 51.1 pada April berbanding 51.9 bulan sebelumnya.
Ketua Strategi bagi pasaran baharu muncul dan Eropah di TD Securities, Mitul Kotecha berkata pasaran Asia menunjukkan reaksi mengecewakan terhadap data PMI dan juga sekatan oleh China ke atas firma gergasi teknologi.
"Dalam masa sama, laporan mengenai situasi COVID-19 yang semakin buruk di beberapa negara di rantau ini, juga meningkatkan kebimbangan ke arah pemulihan ekonomi serantau," katanya.
Pasaran kewangan di rantau ini juga dilihat sebahagian besarnya adalah lemah. Tetapi penganalisis optimis terhadap mata wang Asia dalam tempoh terdekat.
Ia dijangka memperoleh manfaat daripada mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada 15 hingga 16 Jun ini yang mana badan itu dijangka mengekalkan dasar monetarinya.
Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0950/1000 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan Rabu, pada RM4.1000/1050. - DagangNews.com