KLCI ‘berulang-alik’ di paras 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI ‘berulang-alik’ di paras 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Pasaran saham Malaysia dibuka sedikit tinggi, namun sukar untuk melonjak melebihi paras 1,610. 

 

Selepas ditutup bawah 1,600 mencecah 1,598.72, penanda aras saham tempatan, KLCI meningkat 2.43 mata atau 0.15% dibuka pada 1,601.15 setakat 9.02 pagi. 

 

Seperti biasa, pergerakan pasaran tempatan dipengaruhi tinggi oleh sentimen pasaran di Amerika Syarikat (AS) dan Asia. 

 

Pada awal dagangan hari ini, pasaran Asia dimulakan mendatar setelah rata-rata dagangan saham global terhenti seketika daripada paras tertinggi.

 

Dalam masa sama, para pelabur sedang menilai semula keyakinan terhadap rundingan pakej rangsangan di ekonomi terbesar dunia, AS dengan kelulusan vaksin COVID-19. 

 

Menurut Bloomberg, saham di Jepun mendatar dan niaga hadapan S&P 500 menunjukkan trend menurun dan menaik.

 

Di pasaran saham AS, stok-stok firma tenaga mendahului dagangan, manakala saham teknologi pula berprestasi rendah ekoran terdapat kebimbangan terhadap penilaian syarikat. 

 

Dalam perkembangan penemuan vaksin COVID-19, United Kingdom (UK) adalah yang pertama untuk meluluskan vaksin percubaan daripada Pfizer Inc. dan BioNtech SE. 

 

Selepas penemuan vaksin melonjakkan dagangan pelaburan global termasuk Malaysia ke paras yang tinggi, para pelabur mula mengalih perhatian mereka ke arah bon-bon kerajaan. 

 

Bagaimanapun, ini seolah-olah memberi gambaran terdapat potensi impak kenaikan kadar saham dan hutang-hutang syarikat. 

 

Di Malaysia, para penganalisis meningkatkan ramalan keuntungan pasaran tempatan berdasarkan prestasi kewangan syarikat-syarikat tersenarai awam yang lebih baik pada suku ketiga 2020 (3Q20). 

 

CGS-CIMB Research menurunkan ramalan penyusutan KLCI daripada 16% kepada 14% pada tahun kewangan 2020 (FY20). 

 

Sementara MIDF Research pula menaikkan unjuran asas KLCI pada akhir tahun ini kepada 1,525 di mana penilaian ekuiti didorong oleh perkembangan vaksin COVID-19. - DagangNews.com