KLCI cecah paras terendah sejak Mei 2020, ringgit juga merosot | DagangNews Skip to main content

KLCI cecah paras terendah sejak Mei 2020, ringgit juga merosot

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bursa tempatan mengakhiri dagangan hari pertama Ogos dengan suram apabila indeks utama FBM KLCI kekal di bawah paras 1,500 mata diheret turun oleh sentimen yang lemah. 

 

Petang ini, ia menyaksikan indeks itu ditutup pada 1,493.00 mata setelah susut 1.60 mata atau 0.11%, paras terendah sejak 11 Mei 2020.

 

Jumlah dagangan berjumlah 3.43 bilion saham bernilai RM2.38 bilion. Kaunter rugi masih mengatasi untung pada 594 berbanding 440 manakala 378 kaunter tidak berubah.

 

Pasaran tempatan masih dipengaruhi ketidaktentuan situasi politik semasa dan juga kes jangkitan harian yang masih kekal tinggi serta data pembuatan indeks pengurus pembelian (PMI) yang kurang memberangsangkan pada Julai.

 

Sebaliknya, lapor Reuters, pasaran saham Asia yang lain menunjukkan prestasi lebih baik meskipun tanpa sebarang petunjuk baharu sepanjang hujung minggu di sebalik tindakan tegas China terhadap sektor pendidikan swasta sepanjang minggu lalu dan peningkatan penularan wabak COVID-19.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Bhd. ditutup tinggi pada RM15.48 setelah menokok 24 sen diikuti Petronas Dagangan Bhd. naik 20 sen kepada RM18.60.

 

Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. turut menokok 14 sen kepada RM18.66 manakala Nestle (Malaysia) Bhd. naik 30 sen kepada RM133.30. 

 

Bagaimanapun, Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) mendahului kaunter untung dengan 286,300 saham diniagakan menjadikan permodalan pasarannya pada RM8.81 bilion.

 

Sahamnya ditutup pada RM45.56 petang ini setelah menokok RM1.06.

 

Ketika dagangan pagi tadi, saham MPI melonjak sehingga 2.65% apabila para pelabur menjangkakan syarikat pengeluar semikonduktor ini akan merekodkan prestasi kewangan yang mantap pada suku keempat sekali gus menjadikan permodalan pasarannya mencecah RM9 bilion buat kali pertama.

 

Turut berakhir tinggi ialah saham KESM Industries Bhd. menokok 82 sen kepada RM13.98 diikuti Vitrox Corp. Bhd meningkat 72 sen kepada RM19.62.

 

Bagi kaunter rugi, saham Hong Leong Financial Group mendahului dagangan dengan ditutup rendah pada RM17.02 setelah susut 22 sen. 

 

Ia diikuti saham Hengyuan Refining Company Bhd susut 21 sen kepada RM4.11 manakala Quality Concrete Hodlings Bhd. ditutup pada RM1.33 setelah menyusut 17 sen. 

 

Saham Resintech Bhd. mendahului dagangan aktif hari ini menokok 14 sen kepaa 73.5 sen diikuti Greenyield Bhd. ditutup pada 38 sen setelah meningkat 0.80 sen. 

 

PUC Bhd. juga aktif diniagakan dengan menokok 0.10 sen untuk berakhir pada 19 sen.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit petang ini ditutup pada RM4.2235/2265 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan Jumaat pada RM4.2190/2220. - DagangNews.com