KLCI cuba ‘bertahan’, melepasi 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI cuba ‘bertahan’, melepasi 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Setelah berprestasi agak lemah sepanjang hari Rabu (semalam), pasaran ekuiti tempatan cuba untuk ‘mendaki’ ke paras yang lebih baik pada dagangan pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 5.46 mata kepada 1,607.86 daripada paras yang ditutup semalam, 1,602.40. 

 

Namun, indeks itu menyusut sedikit setelah lapan minit didagangkan kepada 1,605.53.

 

Prestasi pada pagi ini agak positif dengan sebanyak 261 kaunter untung mengatasi 121 kaunter rugi. 

 

Kaunter-kaunter untung didahului oleh, antaranya, Hong Leong Bank Berhad, KESM Industries Berhad, Euro Holdings Berhad, Hong Leong Industries Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Bursa Malaysia Berhad, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad. 

 

Rakuten Trade Research menjangkakan momentum pemburuan saham murah akan berterusan di pasaran tempatan walaupun dalam jumlah dagangan yang lemah. 

 

“Oleh itu, kami percaya indeks itu sekali lagi akan didagangkan dalam julat terhad, dalam lingkungan jajaran 1,595 hingga 1,605, hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Semalam, FBM KLCI dibuka di bawah paras 1,600 susulan kelemahan yang ditonjolkan oleh pasaran serantau. 

 

Di peringkat global, Wall Street kekal tidak menentu memandangkan tiga indeks utama merudum selepas berprestasi kukuh pada sesi-sesi sebelumnya. 

 

“Walaupun kadar hasil Perbendahaaran 10 tahun lebih rendah, namun  penjualan saham-saham teknologi tidak dapat dihalang, memandangkan Nasdaq kehilangan 2% atau 266 mata, sementara Dow Jones Industrial Average pula menyusut tiga mata selepas menokok 300 mata.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan terus didagangkan dalam jajaran terhad ketika ketidaktentuan memuncak hari ini,” tambah Rakuten Trade lagi. - DagangNews.com